Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP memutuskan bahawa cadangan pencalonan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mengadakan mesyuarat pada malam ini untuk membincangkan cadangan pencalonan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk mengembalikan mandat rakyat dan membolehkan Pakatan Harapan Plus membentuk semula kerajaan.

CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya.

Setelah mengambil pandangan dari semua ahli CEC yang hadir, mesyuarat memutuskan bahawa cadangan ini perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

CEC mengambil pendirian bahawa perkara ini adalah sangat penting dan Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu bermesyuarat dalam kadar yang segera sebelum persidangan Parlimen bermula pada 13 Julai 2020.

CEC juga menyokong supaya Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Mohammad Ariff Bin Md Yusof dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming dikekalkan dalam jawatan mereka.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 30 Jun 2020