Apakah Slogan “Sawit Anugerah Tuhan” adalah untuk warga Malaysia atau orang asing? Slogan bagi kempen untuk produk Malaysia tidak harus ditukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun menteri

Saya merasa lega kerana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengumumkan bahawa beliau ingin meneruskan kempen kesedaran orang ramai tentang minyak sawit keluaran Malaysia yang dimulakan semasa saya pegang jawatan Menteri Industri Utama, tetapi kesalnya, beliau menukarkan slogan kempen daripada “Sayangi Sawitku” kepada “Sawit Anugerah Tuhan”.

Sawit memanglah anugerah Tuhan kepada dunia, tetapi bila saya melancarkan kempen “Sayangi SawitKu”, saya bukan menyasarkan warga Malaysia sahaja, tetapi saya juga menjalankan kempen yang menyasarkan warga asing dan masyarakat antarabangsa dari Malaysia, iaitu “from Malaysia, we speak to the world”.

Itu sebab kami mewujudkan slogan dalam Bahasa Inggeris “Love MY Palm Oil”, “MY” bermaksud “Malaysia”. Slogan dalam Bahasa Inggeris ini adalah untuk “sambil menyelam minum air” (kill two birds with one stone).

Minyak sawit dan produk sawit merupakan eksport negara yang ketiga besar. Cabaran yang dihadapi oleh industri sawit Malaysia ialah persepsi negatif dunia terhadap sawit. Industri sawit dan kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup untuk menjalankan publisiti dan penerangan tentang minyak sawit kita di seluruh dunia. Oleh itu, kami melancarkan kempen “Love MY Palm Oil” untuk memberi penerangan tentang sawit kita dari Malaysia ke seluruh dunia.

Sekiranya tidak berlakunya pertukaran kerajaan daripada PH ke PN dalam Februari tahun ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan saya memang telah berancang untuk mengadakan kempen “Sayangi Sawitku” di seluruh negara bersama dengan program “Tahun Melawat Malaysia 2020” oleh Kementerian Pelancongan, supaya pelancong asing yang datang ke Malaysia boleh mendapat maklumat tentang kebaikan sawit di Malaysia.

Soalan saya kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ialah, apakah slogan “Sawit Anugerah Tuhan” adalah untuk kempen yang mensasarkan warga Malaysia atau warga asing? Sekiranya ia juga merupakan kempen yang menyasarkan masyarakat antarabangsa, maka slogan bagi kempen penerangan sawit ini haruslah kekal pada “Love MY Palm Oil” atau “Sayangi Sawitku”. Ia tidak haruslah bertukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun pertukaran menteri demi menunjukkan kesinambungan mesej di masyarakat antarabangsa.

Mantan Menteri Industri Utama & Ahli Parlimen Seputeh
Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 24 Julai 2020