Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana mesti dilaksanakan segera

Saya merujuk kepada kenyataan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia pada 19 Julai 2020. Kenyataan tersebut menyeru kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana.

Kenyataan dan seruan tersebut amat bertepatan. Ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di industri pelancongan juga telah menimbulkan persoalan ini.

Skim Pembiayaan Pelancongan Perjana berjumlah RM1 billion telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, iaitu 7 minggu yang lalu. Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) sebelum ini pernah menyatakan bahawa mekanisme skim pembiayaan tersebut akan diumumkan di pertengahan bulan Julai.

Tetapi sehingga hari ini, tiada maklumat yang diberikan dan ia masih belum dibuka untuk permohonan.

MOTAC seharusnya mempercepatkan perkara ini kerana banyak PKS di industri pelancongan yang telah dan masih terjejas kerana Covid-19.

Saya yakin MOTAC sedar bahawa sektor pelancongan adalah antara sektor yang paling teruk terjejas kerana Covid-19. Para pengusaha dan pekerja tidak berdaya untuk tunggu begitu lama.

Di kawasan parlimen saya, tiga hotel besar telah tutup dan dianggarkan 300 orang telah kehilangan kerja. Banyak lagi hotel-hotel kecil dan agensi pelancongan yang sedang bertungkus-lumus untuk bertahan.

Sebelum ini, saya telah menerima banyak pertanyaan daripada pengusaha-pengusaha di sektor pelancongan mengenai Skim Pembiyaan Pelancongan ini.

Maka pada sidang parlimen ini, saya telah pun mengemukakan suatu soalan kepada MOTAC mengenai status dan maklumat lanjut Skim Pembiayaan Pelancongan ini.

Saya berharap agar Menteri akan memberi jawapan tentang perkara ini di parlimen pada minggu hadapan.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Jumaat, 24 Julai 2020