Perdana Menteri wajib memberi jaminan kepada rakyat bahawa beliau tidak mengkhianati kepentingan negara dan melepaskan Goldman Sachs sebegitu mudah atas penglibatan mereka dalam skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah – Skandal 1MDB RM50.4 bilion

Pengumuman YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang persetujuan yang dicapai bersama firma kewangan antarabangsa, Goldman Sachs untuk membayar USD3.9 bilion (RM16.63 bilion) sebagai penyelesaian kepada kerajaan Malaysia kerana terlibat dengan penyelewengan 1MDB menimbulkan persoalan : – “Adakah beliau melepaskan Goldman Sachs dengan sebegitu mudah, sedangkan sebelum ini kita telah menuntut pembayaran sebanyak USD7.5 bilion atas penglibatan mereka di dalam skandal 1MDB, di mana dua orang pegawai eksekutif senior Goldman Sachs telah didakwa oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia sendiri telah menfailkan 17 dakwaan jenayah terhadap Goldman Sachs?”

Ini berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang kekal tegas menuntut USD7.5 bilion bagi tiga bon 10 tahun berjumlah USD6.5 bilion yang diatur oleh Goldman Sachs dengan kadar faedah yang jauh lebih tinggi daripada pasaran dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia:

  1. USD1.75 bilion pada kadar faedah 5.99% diterbit pada 18 Mei 2012;
  2. USD1.75 bilion pada kadar faedah 5.75% diterbit pada 17 Oktober 2012;
  3. USD3.0 bilion pada kadar faedah 4.4% diterbit pada 16 Mac 2013.

Jumlah USD7.5 bilion yang dituntut oleh Kerajaan PH sebelum ini termasuk USD1 bilion bagi menampung kos faedah yang dikenakan pada bon tersebut setakat ini.

Perdana Menteri harus berterus terang mengapa daripada tuntutan asal USD7.5 bilion oleh kerajaan Malaysia, Goldman Sachs hanya akan membayar USD2.5 bilion (RM10.66 bilion) secara tunai dan bakinya, USD1.4 bilion (RM6 bilion) bukan dibayar oleh Goldman Sachs, sebaliknya dari pengembalian aset haram yang dibeli menggunakan duit 1MDB oleh Jabatan Kehakiman AS. Ringkasnya, Goldman Sachs hanya membayar balik USD2.5 bilion secara tunai.

Selain pembayaran tunai USD2.5 bilion, jika Goldman Sachs bersedia untuk mengembalikan baki USD4 bilion aset haram, dan bukan setakat USD1.4 bilion sahaja, maka munasabah bagi Kerajaan untuk bersetuju dengan penyelesaian USD6.5 bilion tanpa mengambil kira faedah sejumlah USD1 bilion yang telah ditanggung kita sebelum ini.

Melepaskan tuntutan asal USD7.5 bilion dengan berpuas hati dengan penyelesaian USD3.9 bilion menunjukkan Kerajaan memandang ringan beban hutang 1MDB yang sebegitu besar. Jumlah hutang 1MDB terkini yang dijamin oleh kerajaan ialah sebanyak RM31.7 bilion. Jumlah ini akan meningkat kepada RM41.5 bilion sekiranya dicampur dengan kadar faedah sehingga tahun 2038. Jumlah ini tidak termasuk RM8.9 bilion yang telahpun dibayar Kerajaan sebelum ini. Ini bermaksud jumlah keseluruhan hutang 1MDB, termasuk faedah, yang terpaksa ditanggung oleh negara kita ialah RM50.4 bilion.

Goldman Sachs hanya membayar tunai sebanyak USD2.5 bilion untuk menyelesaikan segala tuntutan dan tindakan undang-undang jenayah oleh Kerajaan Malaysia terhadapnya. Jika tidak mengikut jumlah tuntutan asal USD7.5 billion sekalipun, penyelesaian dengan Goldman Sachs patut dibuat dengan tuntutan sekurang-kurangnya USD6.5 bilion berikutan 3 bon yang diterbit oleh syarikat tersebut. Perdana Menteri wajib memberi jaminan kepada rakyat bahawa beliau tidak mengkhianati kepentingan negara dan melepaskan Goldman Sachs sebegitu mudah atas penglibatan mereka dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah – Skandal 1MDB RM50.4 bilion.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 26 Julai 2020