Anggaran keuntungan bersih perbankan RM32 bilion tahun 2019 adalah mencukupi bagi pihak bank melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dalam bentuk pelanjutan tempoh moratorium bernilai RM6.4 bilion selama 6 bulan lagi untuk membantu para peminjam menangani krisis ekonomi COVID-19

Rayuan DAP kepada Kerajaan PN untuk melanjutkan tempoh moratorium ke atas pinjaman bank selama 6 bulan lagi selepas 30 September 2020 adalah jelas munasabah. Ini terutamanya apabila Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa pihak bank hanya mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion sejak moratorium tersebut dilaksanakan.

Ini adalah kos yang rendah kerana moratorium tersebut telah memanfaatkan 93% atau 7.7 juta daripada peminjam individu, dan 95% atau lebih 245,000 daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak April 1 2020. Kos tersebut perlu dibandingkan dengan anggaran keuntungan bersih sebanyak RM32 bilion yang dikaut pihak bank pada tahun 2019.

Anggaran keuntungan bersih perbankan RM32 bilion tahun 2019 adalah mencukupi bagi pihak bank melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dalam bentuk pelanjutan tempoh moratorium bernilai RM6.4 bilion selama 6 bulan lagi bagi membantu para peminjam menangani krisis ekonomi COVID-19 ini.

Sekiranya pihak bank tidak bersedia menampung kos RM6.4 bilion tersebut, Kerajaan Persekutuan boleh membiayainya. Kos RM6.4 bilion ini adalah kecil berbanding dengan pertambahan hutang melebihi had Belanjawan 2020 yang sedang digunakan untuk membiayai pakej stimulus ekonomi. Jika Kerajaan enggan melakukan sedemikian, ia akan mewujudkan tanggapan bahawa pakej stimulus bernilai RM295 bilion seperti yang diuar-uarkan kerajaan tidak dirasai oleh orang ramai dan hanya memanfaatkan golongan tertentu sahaja.

DAP mengesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan moratorium ke atas pinjaman bank selama 6 bulan dengan segara. Ini bagi meyakinkan orang ramai dan pihak PKS bahawa mereka tidak dilupakan dalam krisis ekonomi semasa.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa. 28 Julai 2020