Kerajaan wajar melancarkan Geran Khas Prihatin fasa kedua

Dalam ucapan saya di parlimen semalam, saya menyeru kepada kerajaan supaya melancarkan fasa kedua Geran Khas Prihatin (GKP).

GKP merupakan sebahagian daripada Pelan Ransangan Prihatin. Ia bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro melalui geran one-off sebanyak RM3,000.

Kerajaan wajar melancarkan fasa kedua skim ini dengan sekurang-kurangnya peruntukan tambah sebanyak RM500 juta. Ini adalah berdasarkan beberapa sebab.

Pertama, jumlah peruntukan GKP pada asalnya ialah RM2.1 billion untuk 700,000 penerima. Namun, setakat 20 Julai 2020, hanya 545,000 PKS mikro yang telah diluluskan, iaitu melibatkan pemberian RM1.64 bilion. Baki peruntukan tersebut masih boleh dibuka semula untuk permohonan bagi memanfaat 160,000 lagi PKS mikro.

Kedua, tempoh permohonan asal GKP, iaitu dari 1 Mei hingga 15 Mei, adalah terlalu singkat. Sebagai perbandingan, tempoh permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah melebihi sebulan.

Ini telah menyebabkan banyak perniagaan kecil yang terlepas pandang atau tidak sempat untuk memohon GKP ini. Malah, ketika itu, PKP masih berkuatkuasa dan ramai yang menghadapi kesusahan menyediakan dokumen dan sebagainya.

Saya telah menerima beberapa aduan daripada penduduk di kawasan saya bahawa permohonan BPN mereka ditolak kerana mereka mempunyai pendaftaran perniagaan.

GKP amat penting untuk mereka yang bergantung kepada perniagaan untuk sumber pendapatan. Ini merangkumi peniaga-peniaga kecil seperti penjaja makanan, kedai gunting rambut, kedai cuci kereta, dan sebagainya. Mereka merupakan antara golongan yang paling tersebut ketika PKP, dan ramai di antara mereka yang masih bertungkus-lumus untuk kembali stabil semula.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Koay Tiong di Melaka pada hari Selasa, 28 Julai 2020