Ucapan perbahasan usul junjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Wong Shu Qi

Titah Tuanku penuh pedoman,
Kluang sembah menjunjung duli,
Rakyat sokong Pakatan Harapan,
Demokratik adil dan peduli.

Tuan Yang Dipertua,

Negara kita kini diselubungi kemuraman bukan sahaja kerana wabak Covid-19, dan kemelesetan ekonomi, malah bagi pengamal media dan penggiat demokrasi, kerajaan dilihat seakan-akan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas media.

Dalam 3 bulan sahaja kerajaan baharu ditubuhkan, seorang wartawan disoalsiasat polis semata-mata kerana melakukan kerjanya, dan sebuah agensi berita yang lain telah diambil tindakan undang-undang.

Serangan terbaru kerajaan terhadap media ada kaitan dengan lesen di bawah seksyen 22 (1) Akta Finas 1981.

Pada minggu yang lepas, setelah dikritik dengan hebat oleh semua pihak, Menteri Komunikasi dan Multimedia telah berkata bahawa, kerajaan tidak akan menggunakan sekysen 22(1) Akta Finas tersebut terhadap pengguna sosial media buat masa sekarang. Malah, kabinet berjanji akan membuat pindaan terhadap akta yang diakui telah ketinggalan zaman itu.

Namun malangnya, seperti kata orang, “cakap tak serupa bikin”; kerajaan masih menggunakan akta terhadap sebuah syarikat media.

Saya faham, ramai yang tidak puas hati dengan laporan berita yang disiar oleh Al-Jazeera. Berdasarkan sentimen tersebutlah kerajaan Perikatan Nasional telah menggunakan undang-undang yang sudah diakui lapuk oleh kerajaan sendiri untuk mengenakan tindakan terhadap Al Jazeera.

Ini sebenarnya tidak patut.

Sekiranya berita Al Jazeera berbaur fitnah maka kerajaan boleh menggunakan Kanun Keseksaan terhadap syarikat media tersebut. Biarlah kandungan yang dipertikai itu dibicarakan sahih palsunya dan bukan dibungkam dengan alasan tiada lesen. Berani kerana benar. Kita kena berani menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia bukan seperti yang diuar-uar oleh Al Jazeera. Atau adakah kerajaan sendiri tidak berani membongkar fitnah dengan fakta?

Masalah dalam isu ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Akta Finas 1981 sebenarnya adalah undang-undang yang digubal bagi “menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan perfileman Malaysia…”. Kata kunci di sini ialah perusahaan ataupun industri perfileman.

Jelas di sini suatu akta yang dibuat khusus untuk mengawal industri perfileman telah disalahguna oleh kerajaan untuk mengawal berita.

Apa yang ditayang oleh Al-Jazeera dalam program 101 East itu adalah suatu segmen berita khas, ataupun dengan izin “news feature”, bukan filem dan bukan dokumentari. Dokumentari dalam industri perfileman mempunyai definasi yang tersendiri dan jitu. Contoh dokumentari adalah seperti “M for Malaysia”, ataupun dokumenteri lain yang boleh mengambil bahagian dalam anugerah Oscar di bawah kategori dokumentari.

Dalam aspek ini, pihak kerajaan sama ada dengan sengaja atau tidak, telah menganggap laporan berita khas ataupun news feature sebagai kategori dokumentari dalam industri filem. Justeru, Akta Finas yang sepatutnya mengawasi industri filem telah disalahguna untuk mengenakan tindakan ke atas sebuah agensi berita.

Tindakan ini akan dilihat sebagai tindakan salahguna kuasa di pihak kerajaan untuk menggertak dan membisukan pihak media.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ada beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menamatkan kemelut ini:

Pertama, kerajaan perlu menghentikan penggunaan Akta Finas 1981 khususnya seksyen 22(1) terhadap bahan-bahan selain yang diperuntukkan secara sempit dalam undang-undang tersebut bagi industri perfileman.

Kedua, kabinet perlu segera mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, untuk merangka rang undang-undang baru bagi meminda Akta Finas 1981 dengan mengambilkira konteks dan keperluan masa kini.

Ketiga, kerajaan perlu komited kepada prinsip kebebasan media yang didukung oleh kerajaan Pakatan Harapan. Saya harus mengingatkan kita semua, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia meningkat daripada 145 antara 180 negara kepada 101 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Buat pertama kalinya, Malaysia menjadi juara kebebasan media di Asia Tenggara. Jika Perikatan Nasional terus bertindak mengongkong media dan menghalang kerja-kerja wartawan sepertimana yang dilakukan sekarang, saya khuatir kedudukan Malaysia akan merundum dalam indeks kebebasan media kepada seperti di zaman BN dahulu.

———- * ———–

Tuan Yang di-Pertua,

Beralih kepada isu seterusnya, saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucap syabas dan terima kasih kepada semua pekerja hadapan, khususnya doktor, jururawat dan semua yang bertugas di hospital serta klinik. Mereka ialah wira yang melindungi negara kita daripada ancaman wabak pandemik covid-19.

Pada masa yang sama, saya juga terharu melihat masyarakat kita yang menyumbang bermacam-macam usaha bagi menyokong wira-wira barisan hadapan. Tanpa kerjasama semua lapisan masyarakat, kita tidak akan menewaskan wabak Covid-19 ini.

Saya masih ingat lagi, ketika PKP bermula dan saya menerima permintaan untuk cari tukang jahit menghasilkan PPE bagi hospital Covid-19 di kawasan saya, tak sampai sejam poster pengumuman dimuatnaik ke media sosial, pejabat saya telah menerima lebih 70 panggilan sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan.

Walaupun berlaku kekurangan PPE di sesetengah tempat, di Kluang tiada masalah kerana ada kerjasama yang begitu baik antara hospital dan masyarakat setempat. Sebagai wakil rakyat Kluang, saya amat bersyukur kerana komuniti di kawasan saya , tidak kira bangsa dan agama telah tampil menghulurkan pelbagai sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan. 


———- * ———–

Namun, ramai daripada mereka yang telah banyak membantu orang lain dahulu, kini memerlukan bantuan.

Kita faham, ekonomi seluruh dunia amat terkesan akibat wabak pandemik covid-19. Kerajaan seluruh dunia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan negara masing-masing daripada krisis ini.

Wabak ini mendatangkan dua cabaran besar: satu cabaran kesihatan satu lagi cabaran ekonomi. Cabaran kesihatan berjaya ditempuhi negara kita setakat ini. Namun, kerajaan masih gagal berdepan cabaran ekonomi dengan berkesan.

Antara kelemahan ketara kerajaan ialah pendekatan ekonomi yang terlalu konservatif, di mana,

Satu, kos pakej rangsangan ekonomi yang terlalu rendah berbanding keperluan mendesak ekonomi negara.

Dua, pengagihan bantuan yang tidak cekap, contohnya banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengadu bahawa proses birokrasi telah menyusahkan permohonan, dan ada sesetangah bantuan yang lambat diterima.

Ketiga, bantuan yang jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar, dan tidak berupaya untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan Rakyat Malaysia secara meluas.

Tuan Yang DiPertua,

Saya ingin menyentuh secara lanjut isu subsidi upah kerana ini berkaitan rapat dengan sektor pekerjaan Rakyat Malaysiam

Program Subsidi Upah Malaysia merangkumi 15% sehingga 30% gaji sebulan pekerja. Bandingkan dengan negara jiran kita Thailand dan Singapura yang memberikan subsidi sehingga 75% gaji sebulan. Malah subsidi upah di Singapura diberi sehingga 10 bulan berbanding 3+3 bulan sahaja di Malaysia. Di sesetengah negara susbidi dilaraskan berdasarkan keperluan keluarga pekerja. Contohnya di negara Jerman, subsidi upah diberi sehingga 67% daripada gaji sebulan kepada pekerja yang mempunyai anak dan 60% kepada pekerja yang tidak mempunyai anak.

Apabila kita bandingkan kos keseluruhan subsidi upah Malaysia dengan negara-negara lain, kita akan mendapati bahawa program subsidi upah yang dilaksanakan oleh kerajaan amat tidak mencukupi.

Kos “Jobs Support Program” Singapura merangkumi 4.3% daripada keseluruhan pakej ransangan ekonomi negara tersebut, manakala “The Coronavirus Job Retention Program” di United Kingdom pula memakan belanja 13.2% daripada keseluruhan kos pakej rangsangan ekonomi di UK. Di Malaysia pula, Program Subsidi Upah hanya merupakan 2.5% daripada kos keseluruhan pakej ransangan ekonomi kerajaan.

Jelas di sini Program Subsidi Upah kita jauh daripada mencukupi. Apabila saya berbual-bual dengan majikan PKS, ramai di antara mereka yang berasa lebih baik tutup sahaja perniagaan mereka atau memberhentikan pekerja daripada mengambil subsidi tersebut. Ini subsidi tersebut langsung tidak dapat menampung kerugian dan kehilangan pendapatan perniagaan mereka dalam beberapa bulan ini.

Sebenarnya bukan menjadi hasrat majikan untuk memberhentikan pekerja, namun, daripada terus menanggung kerugian yang lebih besar untuk kekal dalam perniagaan, lebih baik tutup kedai atau memberhentikan pekerja sahaja.

Kita tidak menafikan bahawa program subsidi upah ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban ekonomi, namun ia ada ruang yang besar untuk ditambahbaik lagi. Saya berharap kerajaan akan mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak lagi pekerjaan dan perniagaan Malaysia terjejas.

———- * ———–

Tuan Yang di-Pertua,

Baru-baru ini, sekumpulan anak muda telah menganjurkan parlimen digital yang berjaya menarik pendaftaran lebih daripada seribu peserta. Mereka bukan sahaja membuktikan kepada Parlimen ini bahawa sidang Parlimen boleh diteruskan walaupun dalam keadaan wabak jika ada iltizam, malah anak-anak muda ini telah menunjukkan prestasi perbahasan yang begitu cemerlang, mengemukakan idea-idea bernas dan membincangkan perbezaan pandangan dengan berhemah.

Mereka bukan sahaja berjaya melaksanakan sidang Parlimen digital selama dua hari, malah mereka telah mencapai kepada pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, bagi berinteraksi secara lanjut dengan kita semua. Ini sekaligus menunjukkan kematangan politik anak muda kita.

Saya sendiri telah mendengar perbahasan mereka ketika sidang parlimen digital tersebut diadakan. Ada di kalangan mereka yang hanya berumur 17 tahun tetapi begitu petah membahaskan isu kesihatan mental, ada pula yang membangkitkan isu pendidikan seks di sekolah para pelajar mempunyai kesedaran melindungi hak badan mereka sendiri. Saya kagum menyaksikan perbahasan mereka yang teratur, tertib dan serius dalam membangkitkan isu-isu yang penting buat masyarakat kita.

Walau bagaimanapun, penganjur dan beberapa orang peserta telah dihubungi pihak polis. Saya faham, mungkin ada orang tertentu yang mahu tahu secara terperinci siapa anak muda ini dan apa objektif mereka. Jadi, nasihat saya kepada pihak yang menghantar polis untuk hubungi anak-anak muda tersebut, “kan lebih baik hantar Pagoh untuk berjumpa dengan mereka daripada menghantar polis?” Jika Perdana Menteri sendiri berinteraksi dengan mereka, sudah tentu kerajaan akan tahu akan niat dan misi Parlimen Digital ini tanpa perlu menyusahkan pihak polis yang sudahpun sibuk mengejar penjenayah.

———- * ———–

Tuan Yang di-Pertua,

Akhir sekali, saya ingin menarik perhatian Menteri Kerja Raya kepada Jalan FT 50 di Johor. Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, saya telah dimaklumkan bahawa kerja naik taraf FT50 akan dilaksanakan pada tahun ini. Yang Berhormat Sri Gading, Yang Berhormat Batu Pahat dan saya pernah menulis surat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta Menteri Kerja Raya ketika itu untuk mempercepatkan projek naik taraf tersebut, kerana jalan ini adalah salah satu jalan raya yang paling bahaya di seluruh negara.

Memandangkan Menteri Ehwal Ekonomi serta Yang Berhormat Batu Pahat masih kekal dalam kerajaan, saya berharap projek ini akan dilaksanakan dengan segera agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Sekian ucapan perbahasan saya, Kluang menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen Kluang
Ucapan perbahasan usul junjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Wong Shu Qi di Parlimen pada hari Rabu, 29 Julai 2020