Sekiranya Perdana Menteri tidak dapat menunaikan janji untuk meningkatkan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, dan Gabungan Rakyat Sabah tidak dapat menepati janji mereka untuk tidak bertanding satu sama lain di 17 kerusi, nasib rakyat Sabah akan lebih baik dengan menyokong Kerajaan Warisan Plus

Sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat menunaikan janjinya untuk meningkatkan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dapat menepati janji mereka untuk tidak bertanding satu sama lain di 17 kerusi, nasib orang Sabah akan lebih baik dengan menyokong kerajaan negeri Warisan Plus. Tambahan pula, Muhyiddin telah menunjukkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang lemah apabila calon Ketua Menteri Sabah yang dicadangkannya, ditolak terus oleh Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Rakyat Sabah mahukan satu gabungan politik yang bersatu dan dipimpin oleh seorang ketua, untuk membawa kestabilan dan kemajuan ekonomi kepada kerajaan negeri yang akan datang. Sekiranya GRS yang baru dibentuk tidak dapat bersetuju untuk calon Ketua Menteri, dan lebih berminat untuk berlawan satu sama lain di 17 kerusi DUN, bagaimana GRS dapat menjanjikan kestabilan dan kemajuan ekonomi bagi rakyat Sabah?

Nasib rakyat Sabah akan lebih baik di bawah kerajaan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah, yang bersatu di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal. Shafie telah berjanji bahawa rakyat, dan bukan “katak” politik yang boleh dijualbeli politik wang, akan memutuskan siapa kerajaan negeri mereka yang seterusnya dan Shafie telah menunaikan janji itu.

Perdana Menteri telah berjanji di Sandakan pada 30 Ogos, untuk meningkatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penerima yang memerlukannya, yang kini antara RM200 dan RM300 kepada RM1,000. Sehingga sekarang, tidak ada khabar mengenai peningkatan bantuan kebajikan masyarakat tersebut.

Kenaikan kepada RM1,000 ini sangat diperlukan berikutan pengakuan oleh Menteri Sumber Manusia bahawa jumlah pengangguran akan meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah, iaitu 1 juta pekerja pada akhir September. Ini akan meningkatkan perbelanjaan tahunan kerajaan untuk bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM1.7 bilion untuk lebih 500,000 penerima pada tahun 2018, kepada RM12 bilion berdasarkan jangkaan peningkatan penerima kepada 1 juta rakyat Malaysia.

DAP menyokong kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 sebagai sebahagian daripada peralihan strategik dalam fokus kewangan kerajaan daripada menguruskan hutang kerajaan secara berhemah sebelum ini, kepada masa kini meminjam lebih banyak wang untuk menyuntik dana demi menyelamatkan mata pencarian, pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia. Namun, ramai rakyat Malaysia yang memerlukan, terutamanya pekerja yang menganggur masih menunggu RM1,000 sebulan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 13 September 2020