Kerajaan PN diminta jangan menggunakan Covid-19 untuk menakutkan pengundi Sabah di Semenanjung untuk balik ke Sabah membuang undi

Saya amat prihatin terhadap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa Kementerian Kesihatan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas menjalankan urusan pilihanraya negeri Sabah. Walaupun kenyataan ini kemudian dinafikan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri, tetapi ia telah membangkitkan persoalan samada Kerajaan PN ingin menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pengundi Sabah untuk membuang undi di Sabah.

Mengikut kenyataan Kementerian Kesihatan bertarikh 12 September 2020, 293 kes dikesan positif Covid-19 (43 kes baharu), manakala 88 kes dikesan positif Covid-19 (1 kes baharu). Kes-kes aktif ini diletak di bawah Kluster Benteng LD.

Ini menunjukkan kes wabak Covid-19 yang meningkat di Sabah hanya tumpu di kluster yang berkaitan pusat tahanan PATI di Tawau dan Lahad Datu sahaja, bukan seluruh Sabah.

Jadi adalah tidak wajar bagi Dr Adham Baba untuk mencadangkan bahawa semua orang pulang ke Semenanjung selepas membuang undi dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari.

Cadangan ini bukan sahaja menjejaskan pengundi Sabah di Semenanjung untuk pulang membuang undi tetapi ia juga akan menjejaskan kegiatan ekonomi dan juga pegawai kerajaan yang harus menjalankan urusan kerajaan di antara Sabah dan Semenanjung. Implikasi dasar ini memang sangat serius.

Saya ingin menyeru pihak kerajaan, khususnya anggota jemaah Menteri untuk memberi maklumat yang terperinci dan gambaran yang tepat tentang tempat yang berlakunya wabak covid-19, supaya urusan pilihanraya tidak akan dijejaskan.

Ahli Parlimen Seputeh
Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Sandakan pada hari Ahad, 13 September 2020