Marilah kita bawa angin perubahan daripada Negeri Di Bawah Bayu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini sebagai perintis usaha mengembalikan mandat yang berasaskan integriti, keadilan, dan kemajuan dalam pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15

Marilah kita bawa angin perubahan daripada Negeri Di Bawah Bayu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini sebagai perintis usaha mengembalikan mandat yang berasaskan integriti, keadilan, dan kemajuan dalam pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15

Saya pertama kali ke Sabah pada hari bersejarah 13 Mei 1969, untuk membantu calon bebas Kota Kinabalu dalam Pilihan Raya Umum 1969 dan saya dijadualkan untuk teris ke Sandakan dan Tawau untuk membantu calon bebas di sini berkempen.

Saya bertolak meninggalkan Kuala Lumpur pada pagi 13 Mei 1969 dan pertama kali mendengar berita mengenai kejadian di Kuala Lumpur di satu himpunan awam di Kota Kinabalu pada waktu petang hari yang sama — namun saya telah dituduh selama berdekad-dekad sebagai menjadi punca rusuhan 13 Mei dan kononnya memimpin perarakan haram di jalan-jalan di Kuala Lumpur semasa rusuhan ini. Sedangkan hakikatnya saya tidak pun berada di Kuala Lumpur pada hari rusuhan ini berlaku.

Sama seperti penipuan yang menuduh saya sebagai seorang komunis, yang pertama kali muncul pada tahun 2008 — lebih daripada 40 tahun selepas saya memulakan aktiviti politik saya, di mana komunis cuba untuk mengalahkan saya dalam pilihan raya umum 1969 — penipuan, fitnah, dan berita palsu yang terpaksa dihadapi dalam kehidupan politik ini telah kembali muncul dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Saya pernah dituduh sebagai seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam, tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh memetik kejadian daripada 55 tahun kerjaya politik saya, di mana saya mengeluarkan kenyataan yang anti-Melayu mahupun anti-Islam.

Seperti majoriti rakyat Sabah dan rakyat Malaysia, saya percaya kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara — Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Ujian yang ringkas untuk para menteri semasa adalah untuk mereka menyatakan secara terbuka sama ada mereka menerima prinsip-prinsip Rukun Negara ini. Saya tidak percaya mereka berani berbuat demikian. Jika mereka benar-benar berpegang kepada kelima-lima prinsip ini, insiden di mana salah satu agama utama dalam negara dihina di Parlimen tidak akan berlaku.

Esok adalah Hari Malaysia dan DAP berbangga kepada hakikat di mana kami berjaya dalam perjuangan kami untuk menjadi Hari Malaysia sebagai satu hari cuti umum kebangsaan dan bukan sahaja satu hari cuti umum yang disambut di peringkat negeri.

Tetapi, Sabah dan juga Malaysia masih mempunyai perjalanan yang panjang jika kita mahu merealisasikan potensi penuh negara kita, sebagai sebuah negara berkelas dunia yang berteraskan kecemerlangan dan di mana kepelbagaian kaum, agama, dan budaya kita dilihat sebagai satu aset dan bukannya liabiliti — kerana inilah Rukun Negara ini adalah satu-satunya asas untuk membina sebuah negeri dan negara yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya seperti Sabah dan Malaysia.

Terdapat 447 orang calon dalam Pilihan Raya Negeri Sabah — rekod pertama bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi mungkin untuk seluruh dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjadi pihak yang paling beruntung memandangkan Suruhanjaya tersebut berkemungkinan mendapatkan RM1 ke RM1.5 juta daripada kira-kira 200 ke 300 calon yang bakal kehilangan deposit mereka.

Perkara ini juga menunjukkan perpecahan yang dihadapi oleh penduduk di Sabah, setengah abad selepas penubuhannya.

Namun, perkara ini tidak sahaja berlaku hanya di Sabah tetapi di seluruh Malaysia juga.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan melalui konspirasi “Langkah Sheraton” pada bulan Februari 2020, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan kerajaan dan kabinet pintu belakang, terdapat perasaan putus asa dan kekecewaan yang meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya sendiri berasa kecewa melihat mandat lima tahun kerajaan Pakatan Harapan yang berteraskan integriti, reformasi institusi, keadilan, dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia dirampas hanya selepas 22 bulan melalui satu rampasan kuasa yang jahat, dan pada mulanya, saya berkongsi perasaan pesimis yang dirasai oleh ramai rakyat Malaysia yang merasakan masa depan negara kita kini gelap dan tidak lagi mempunyai harapan.

Adakah perjuangan politik saya selama 55 tahun untuk integriti, kebebasan, keadilan, dan perpaduan di Malaysia telah menjadi sia-sia?

Adakah kita semua telah gagal dalam usaha kita untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal, sebuah kleptokrasi, sebuah kakistokrasi?

Namun, berapa ramai daripada kalangan kita yang menjangkakan Barisan Nasional yang kelihatan kebal untuk tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang kemudiannya membawa kepada kejatuhan seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat sebagai kebal, yang kini telah pun disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah berkenaan dengan skandal 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai?

Saya sendiri tidak menjangkakan peralihan kuasa secara aman dan demokratik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Jika kita semua mampu mencapai kejayaan sebegini, adakah pengembalian semula mandat rakyat yang berteraskan integriti, keadilan, dan kemakmuran bersama untuk semua rakyat Malaysia satu impian yang mustahil?

Perjuangan ini akan memakan masa yang panjang dan kita perlu terus-menerus cekal dan tabah — seperti gadis berani daripada Pitas, Veveonah Mosibin, yang berada di atas pokok selama 24 jam untuk mendapati sambungan internet yang stabil bagi membolehkan beliau menduduki peperiksaan atas talian — untuk terus berjuang untuk suatu Sabah Baharu dan Malaysia Baharu.

Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini amatlah penting, bukan sahaja demi masa depan Sabah, tetapi juga untuk masa hadapan Malaysia.

Sabah dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu — dan saya menyeru kepada semua rakyat Sabah untuk membawa angin perubahan pada 26 September, dengan memastikan bukan sahaja kemenangan Warisan Plus, tetapi kemenangan majoriti dua-pertiga, sebagai perintis usaha mengembalikan mandat rakyat yang berteraskan integriti, keadilan, dan kemajuan dalam pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Sandakan pada hari Selasa, 15 September 2020, jam 10 pagi