Adakah Menteri PAS Khairuddin sedang cuti sementara menunggu siasatan polis atau pun tidak?

Malaysiakini melaporkan yang terdapat laporan bercanggah mengenai dakwaan berkenaan dengan status Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang sedang di bawah siasatan kerana pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 selepas pulang daripada luar negara.

Sumber yang berkedudukan tinggi telah memaklumkan pihak Malaysiakini yang pemimpin PAS tersebut kini sedang bercuti sementara menunggu hasil siasatan ke atas beliau dan perkara ini telah pun disampaikan kepada Kabinet pada minggu lepas.

Namun begitu, perkara ini telah dinafikan oleh pegawai menteri tersebut, Muhammad Faudzi Jalil, yang mengatakan yang menteri beliau masih bertugas seperti biasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu menjelaskan status Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ini, sama ada beliau sedang bercuti atau pun tidak.

Sambutan Hari Malaysia dan Jubli Emas Rukun Negara tahun ini disambut dengan perasaan yang agak janggal apabila Perdana Menteri sendiri terpaksa berdiam diri mengenai status seorang Menteri beliau yang kini berada di bawah siasatan Polis.

Adakah terdapat sebarang bukti lain yang menunjukkan yang Perdana Menteri kita sekarang adalah Perdana Menteri yang terlemah dalam 63 tahun sejarah negara kita?

Saya bertanyakan sebelum ini, sama ada Muktamar PAS ke-66 akan melupakan pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin jika beliau tidak mendermakan RM50,000 kepada partinya.

Persoalan kini diperkuatkan dengan laporan Malaysiakini ini.

Sumbangan Khairuddin ini diumumkan oleh Pengerusi Tetap Muktamar PAS, Husin Ismail selepas ucapan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada hujung minggu lalu.

Penganalisa politik telah menjangkakan yang muktamar PAS ini akan berbincang mengenai episod Khairuddin ini berserta dengan prestasi menteri-menteri PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional setakat ini, memandangkan rakyat tidak mempunyai keyakinan dengan kebolehan menteri-menteri PAS di dalam Kabinet, di mana para menteri dan timbalan menteri UMNO dilihat sebagai mempunyai prestasi yang lebih baik.

Tetapi, tidak ada sesiapa pun yang membangkitkan isu Khairuddin ini.

Satu lagi persoalan yang berlegar dalam fikiran ramai orang adalah kenapa pihak berkuasa memerlukan tempoh masa yang sebegitu lama untuk melengkapkan siasatan mereka terhadap pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 yang dilakukan oleh Khairuddin?

Dua minggu yang lepas, pihak Polis mengumumkan yang mereka menjangkakan siasatan kes Khairuddin ini akan selesai dalam masa terdekat, dengan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengatakan yang pihak Polis akan menyerahkan dapatan siasatan mereka ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.

Mior Faridalathrash kini mengatakan yang Pejabat Pendakwa Raya masih belum memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai kertas siasatan ini.

Mengapakah Pejabat Pendakwa Raya mengambil masa yang sebegitu lama untuk membuat keputusan mengenai kes Khairuddin ini?

Adakah kerana Pejabat Pendakwa Raya kini berada di bawah bidang kuasa seorang menteri PAS?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Komen media oleh Lim Kit Siang di Sandakan pada hari Selasa, 15 September 2020