Seruan kepada semua pengundi di Sandakan untuk menyokong visi Calvin Chong supaya terdapat sebuah universiti di Sandakan

Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini adalah pertembungan di antara politik iltizam dan politik wang, pertembungan di antara visi dan prinsip berbanding dengan kepentingan sendiri dan budaya politik “katak”.

Baru tadi, calon Warisan untuk Elopura yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP kawasan tersebut, Calvin Chong berkata mengenai visi beliau mengenai Sandakan, dan antaranya adalah untuk melihat sebuah universiti di Sandakan.

Perkara ini mengingatkan saya kepada seruan saya supaya dibinanya sebuah universiti di Sabah, kira-kira 30 tahun yang lalu, di masa di mana tidak ada sesiapa pun yang berbuat demikian, dna kini kita mempunyai Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu.

Masanya telah tiba untuk universiti kedua Sabah dan Sandakan adalah tempat yang berpatutan untuk universiti kedua Sabah ini.

Saya menyeru para pengundi di Elopura untuk mengundi Calvin bagi membolehkan beliau merealisasikan visi beliau untuk mewujudkan satu universiti di Sandakan, supaya anak muda di Sandakan dapat meneruskan pengajian peringkat lanjut mereka tanpa perlu meninggalkan Sandakan.

Sabah adalah salah satu negeri terkaya di Malaysia, tetapi, kadar kemiskinan di Sabah juga merupakan kadar yang tertinggi di dalam negara kita.

Mengapakah terjadi perkara sebegini?

Kerana ahli politik yang telah menyalahgunakan politik untuk kepentingan diri mereka sendiri dan bukannya untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat jelata.

DAP berpegang kepada prinsip politik bersih dan jujur. Kami komited melawan rasuah dalam segala bentuk dan mempunyai rekod lebih daripada 50 tahun sejak tahun 60-an untuk membuktikan konsistensi dan keteguhan kami dalam melawan rasuah ini.

Dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, kami telah berjaya membawa kemajuan dalam melawan rasuah, yang dibuktikan apabila Malaysia mencapai tahap terbaik negara kita dalam 25 tahun dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) 2019.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah TI 2019 ini, Malaysia berada di tempat ke 51 dengan markah 53, satu peningkatan enam mata dan 10 kedudukan dalam masa setahun.

Sejak penggulingan kerajaan Pakatan Harapan melalui konspirasi “Langkah Sheraton” pada bulan Februari tahun ini yang disusuli dengan pembentukan kerajaan pintu belakang sedia ada, kita dapat lihat pengurangan usaha memerangi rasuah, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi alat penindasan terhadap pemimpin pembangkang dan bukannya pejuang melawan rasuah.

Jika kita berjaya mengekalkan momentum program anti-rasuah yang dimulakan kerajaan Pakatan Harapan, Malaysia mungkin akan termasuk dalam kalangan 30 negara teratas menjelang 2030.

Undian yang jelas dan kuat kepada Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini akan menjadi satu suara yang kuat untuk mengembalikan semula program-program anti-rasuah supaya negara kita dapat menjadi salah satu daripada 30 negara teratas di dunia dari segi integriti awam dan usaha melawan rasuah.

Namun kini, saya berkeberatan untuk membaca laporan TI-CPI 2020 yang akan diterbitkan pada bulan Januari depan, memandangkan negara kita telah terkebelakang dalam perang melawan rasuah.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Ceramah Kempen oleh Lim Kit Siang di Taman Sentosa, Sandakan semasa berkempen untuk calon Warisan, Calvin Chong yang bertanding untuk kerusi Elopura pada hari Selasa, 15 September 2020, jam 7 petang