Cadangan Kedua untuk Hari Malaysia 2020: Perdana Menteri membentangkan tiga janji Batu Sumpah Keningau di Parlimen dan membawa usul mengenai komitmen kerajaan untuk menegakkan ketiga-tiga janji ini sebagai asas pembinaan negara bangsa Malaysia

Baru tadi, saya telah membuat cadangan di mana semua Menteri Kabinet perlu menyatakan sokongan mereka kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara atau pun mengosongkan jawatan mereka jika mereka tidak bersedia berbuat demikian.

Sekarang, saya mahu membuat cadangan kedua, yang berkenaan terutamanya dengan Sabah.

Sempena Hari Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri satu acara sambutan Hari Malaysia yang bertemakan “Demi Mempertahankan Hak Kita” di Batu Sumpah, Keningau.

Selama daripada setengah abad, selain daripada seorang dua ahli politik, Batu Sumpah Keningau ini telah dilupakan sama sekali baik sama ada oleh pemimpin kebangsaan mahupun Sabah. Sehinggalah saya melawat Keningau pada bulan Mac 2010 bersama dengan dua Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching dan Lim Lip Eng, dan juga bersama dengan satu-satunya ADUN DAP Sabah ketika itu, Jimmy Wong.

Sehingga hari itu, saya sendiri tidak pernah terdengar mengenai Batu Sumpah Keningau ini kerana ia tidak pernah disebut mahupun dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Parlimen Sabah di Parlimen.

Pada Batu Sumpah Keningau ini, diukirkan jaminan bersejarah kepada rakyat Sabah, terutamanya yang berada di pedalaman, semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 — kebebasan beragama, hal ehwal tanah akan selama-lamanya menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, dan hak-hak adat akan sentiasa dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.

Selepas lawatan saya pada bulan Mac 2010 ini, saya dapati jelas sekali yang janji-janji yang terukir pada Batu Sumpah ini tidak dikotakan sepenuhnya.

Hasilnya, saya menjadi Ahli Parlimen pertama yang membangkitkan isu Batu Sumpah Keningau ini Parlimen, dan sejak hari itu, Ahli Parlimen DAP daripada Sabah secara konsisten telah membangkitkan isu ini.

Kami juga telah melancarkan kempen Kesedaran Batu Sumpah, di mana kata-kata ulung penulis Czech, Milan Kundera “Perjuangan manusia melawan kuasa adalah perjuangan ingatan melawan lupa” menjadi cogan kata kempen ini.

Hari ini, kita mempunyai satu acara yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri sendiri di Batu Sumpah Keningau sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini — satu tanda kejayaan kempen Kesedaran Batu Sumpah DAP selama ini.

Namun begitu, hanya Perdana Menteri menghadiri satu acara berkaitan dengan tiga komitmen Batu Sumpah Keningau “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan” ini tidak mencukupi.

Saya menyeru Perdana Menteri untuk membentangkan komitmen Batu Sumpah Keningau ini di dalam Persidangan Dewan Rakyat pada bulan November kelak bersama dengan usul untuk memastikan kerajaan mengiktiraf dan memenuhi ketiga-tiga janji yang terukir di atas Batu Sumpah Keningau ini.

Adakah parti-parti politik, pemimpin, dan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16 ini bersedia untuk menyokong cadangan saya ini?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan Sidang Media Hari Malaysia (2) oleh Lim Kit Siang di Sim Sim, Sandakan pada hari Rabu, 16 September 2020