Rampasan 700,000 ekar tanah rizab hutan, hampir 3 kali luas Negeri Pulau Pinang, merupakan skandal rasuah rampasan tanah terbesar dalam sejarah Malaysia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menyiasat pendedahan mengejutkan oleh Ketua Menteri sementara Sabah Shafie Apdal mengenai skandal rasuah rampasan tanah terbesar dalam sejarah Malaysia. Shafie mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan negeri Sabah yang lepas telah memberikan 700,000 ekar tanah rizab hutan di bawah Yayasan Sabah (YS) atau Sabah Foundation kepada “kawan dan keluarga”.

Rampasan tanah rizab hutan seluas 700,000 ekar ini sangat besar, sehingga hampir 3 kali keluasan negeri Pulau Pinang. Kegagalan SPRM bertindak sekali lagi akan menunjukkan sikap “antara dua darjat” SPRM yang memihak kepada pemimpin politik pro-PN (Perikatan Nasional). Ini berbeza apabila SPRM bertindak begitu pantas untuk memanggil penanam durian “musang king” Raub untuk disoal siasat, hanya kerana tekanan daripada parti komponen PN.

Kes yang masih segar di fikiran orang ramai adalah tiadanya sebarang tindakan oleh SPRM terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, yang mengaku menulis surat cadangan agar anaknya sendiri dilantik ke Lembaga Pengarah Pharmaniaga. Menteri Pertahanan Ismail Sabri telah bersetuju dengan cadangan Timbalannya. Mencadangkan anak sendiri adalah kesalahan di bawah seksyen 23 Akta SPRM, kerana Pharmaniaga berada di bawah pengawasan dan kuasa Kementerian Pertahanan. Malangnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh SPRM sehingga kini.

Pendedahan terbaru oleh Shafie berkenaan rampasan 700,000 ekar tanah hutan simpan bukan hanya melibatkan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta kerajaan untuk kepentingan peribadi diri sendiri atau anggota keluarga. Rampasan rizab hutan ini juga berbahaya kepada alam sekitar dan hidupan liar, kepelbagaian biologi dan komitmen antarabangsa Malaysia untuk memelihara hutan simpan kita.

Hanya Kemenangan Untuk Warisan Plus, Membolehkan Kita Menyiasat Skandal Rampasan Tanah 700,000 Ekar Ini Dan Mencegah Lebih Banyak Rampasan Tanah Di Masa Depan.

Kedua-dua bekas Ketua Menteri Sabah dan adiknya, yang merupakan bekas Menteri Persekutuan, harus tampil bersikap jujur kepada rakyat Sabah untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti awam. Selanjutnya kerajaan Persekutuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga harus memberi penjelasan, kerana pemimpin kerajaan negeri Sabah yang lepas itu adalah sebahagian daripada pentadbiran dan gabungan politik PN.

Rakyat Sabah tidak akan lupa bahawa setiausaha politik Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, adalah mereka yang pergi menemui Yang DiPertua Negeri Sabah bagi pihak mantan Ketua Menteri Sabah itu, untuk cuba membentuk kerajaan pintu belakang yang baru dengan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri. Percubaan PN dan mantan Ketua Menteri Sabah ini untuk membentuk kerajaan pintu belakang negeri Sabah gagal, kerana Shafie bertindak tangkas, menghentikan cubaan mencuri mandat rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Shafie telah mengatakan bahawa rakyat Sabah sendiri mesti memutuskan siapa yang mereka mahu pilih sebagai kerajaan negeri yang baru, bukan politik wang. Itulah sebabnya mengapa Shafie terpaksa memanggil pilihan raya negeri Sabah pada 26 September walaupun ada ancaman COVID-19. Kesanggupan untuk meletakkan kesihatan awam dalam bahaya, menunjukkan PN tidak bertanggungjawab dan bermain politik yang merosakkan demi untuk kembali berkuasa di Sabah dan mengukuhkan majoriti nipis 2 kerusi parlimen mereka.

Adalah penting bagi rakyat Sabah untuk menghentikan politik wang yang merosakkan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan terbaru rampasan tanah oleh ahli politik yang tidak jujur dengan mengundi Shafie dan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah. Hanya kemenangan untuk Warisan Plus, membolehkan rakyat Sabah menyiasat skandal rampasan tanah hutan seluas 700,000 hektar ini, dan juga mencegah lebih banyak lagi rampasan tanah rizab hutan di masa depan.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 16 September 2020