Pada tanggal sambutan Hari Malaysia yang ke-57, adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk mempertahankan kepelbagaian dan perbezaan yang unik diantara kita semua dalam usaha memerangi wabak virus yang lain iaitu virus golongan ekstremis, rasis, yang memainkan isu keagamaan, seksis, yang berasuah dan yang tidak bermoral daripada terus menjarah negara ini

“We are all Malaysians. This is the bond that unites us. Let us always remember that unity is our fundamental strength as a people and as a nation.” ~ Tunku Abdul Rahman.

Sambutan 16 September tahun ini sememangnya paling unik dalam sejarah Malaysia, terutama sekali dengan pilihanraya negeri Sabah yang dalam perjalanan kempen sekarang.

Tetapi sambutan Hari Malaysia tahun ini pasti terpahat dalam ingatan semua tatkala kita berperang dengan wabak pandemik COVID-19, bersama-sama dengan semua barisan hadapan di rumah dan barisan hadapan di hospital serta di dalam semua agensi penguatkuasaan. Kami berhutang nyawa dengan anda semua!

Disaat kita bergelumang dengan pandemik ini, hakikatnya adalah kita juga berdepan juga gelagat manusia yang semakin gelisah, rimas dan takut dengan penularan wabak ini dan ini, saya akui, berlaku disetiap pelosok dunia. Dan inilah peluang keemasan pagi puak-puak yang mahu mamainkan politik toksik untuk terus relevan dalam lanskap politik Malaysia. Namun, ini juga masa yang mustahak untuk kerajaan, wakil rakyat seperti Ahli Parlimen dan ADUN bersama dengan badan bukan kerajaan dan masyarakat umum untuk menggembleng tenaga, berganding bahu dan semua sumber supaya golongan ekstremis dan pelampau ini tidak terus menggunakan pandemik ini untuk mengungkitkan, memanipulasi dan mengeksploitasi keadaan ini untuk agenda mereka dalam memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Salah satu cara untuk membungkam puak-puak ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, terutama sekali yang sekian lama berdiam diri untuk mula bersuara, sekaligus menepis dan menangkis agenda dan propaganda mereka ini – golongan ekstremis, yang fanatik, yang rasis dan seksis, yang berasuah dan yang tidak bermoral. Kata-kata mereka ini yang berbisa dan tingkahlaku mereka yang licik boleh disekat dan dinyahaktifkan jika semua rakyat Malaysia bersuara untuk menentangnya. Bersubahat dengan yang melakukan kesalahan, walaupun tahu dan tidak menghalangnya, akan memikul dosa yang lebih besar daripada pesalah itu sendiri.

Walaupun bersenjatakan hashtag #KitaJagaKita yang digunakan oleh semua di Malaysia, namun peperangan melawan golongan toksik ini wajib dipertingkatkan lagi supaya mereka ini tidak boleh memperdayakan warga marhaen diluar sana dengan tipu helah mereka. Sambutan tahun ini haruslah berpaksikan kepada semangat perpaduan, saling hormat-menghormati dan menikmati keindahan diversiti diantara semua warga tanahair ini.

Walaupun sudah 63 tahun kita merdeka dari jajahan British dan sudah 57 tahun tertubuhnya gabungan Sabah dan Sarawak bersama Pesekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, namun banyak isu perkauman, isu keagamaan, isu gender dan isu penyalahgunaan kuasa tidak dianggap serius dan kealpaan oleh rejim sebelum ini membenarkan ketumbuhan kecil menjadi satu barah agresif, yang sukar dikawal dewasa ini. Ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, golongan ini sudah bermaharajalela terlalu lama dan sudah selesa dengan propaganda mereka kerana majoriti rakyat Malaysia pada masa itu tidak menegur atau menolak agenda terpesong mereka. Ironisnya, gelabah pula mereka ini apabila didedahkan modus-operandi politik toksik yang digunakan, walhal yang sepatutnya marah adalah rakyat Malaysia yang patriotik, yang cintakan tanahair ini, tidak mengira agama, etnik, gender dan umur mengikut semangat dan semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seperti pepatah Melayu yang sering didengari “hanya jauhari yang mengenal manikam”, saya tahu ramai warga yang mahu bersuara tetapi tidak tahu bagaimana dan dimana. Gunalah semua platform media sosial untuk menyebarkan kisah positif maksud anak bangsa Malaysia. Gunalah tempat kerja kita, rumah kita dan kedai kopi untuk berkongsi budaya kita dengan yang lain. Janganlah kita membenarkan puak pelampau yang wujud disetiap ceruk negara untuk terus memegang kunci untuk membina sebuah Malaysia yang sedang dan bakal dimiliki oleh genarsi akan datang. Malaysia ini milik kita semua dan kita berhak dan bertanggungajwab untuk melindunginya. Jika bukan kita, siapa lagi?

Namun saya tidak akan berputus asa. Harapan saya masih tinggi menggunung terhadap warga Malaysia yang mahukan satu negara dimana semua anak bangsa Malaysia akan diberikan peluang untuk impian mereka tercapai. Dengan usaha gigih, semangat perjuangan, dengan ajaran nilai-nilai murni dalam Rukunegara kita, saya pasti kita semua akan menjadi saintis, jurutera dan arkitek untuk menempatkan Malaysia semula di peta dunia sebagai sebuah negara yang makmur yang menggunakan perbezaan diantara semua rakyatnya sebagai satu titik persamaan, satu titik pertemuan, satu titik perdamaian diantara kita semua.

“We must each always think first of Malaysia, of the national need and least of ourselves …Everyone must try to help and see that the people are one-minded, with loyalty and one aim, to make Malaysia – the land we love – a happy abode for all of us. If we all do this then we can guarantee liberty, security, prosperity and happiness for the future.” ~ Tunku Abdul Rahman.

Dengan semangat setiakawan, silaturahim dan perpaduan, saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-63 kepada semua anak bangsa Malaysia, tidak kira dekat atau di perantauan.

Kasthuri Patto
SETIAUSAHA ANTARABANGSA WANITA DAP & AHLI PARLIMEN BATU KAWAN
Kenyataan media oleh Kasthuri Patto di Pulau Pinang pada hari Rabu, 16 September 2020 sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-57