Krisis Dalaman UMNO jangan pula #SalahDAP

Komen terbaru oleh bekas Ahli Parlimen UMNO Kemaman Ahmad Shabery Cheek yang terus menuding jari kepada DAP yang kononnya gila kuasa hanya menunjukkan bahawa parti UMNO mengalami krisis dalaman selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan yang diperolehi beliau untuk menubuhkan kerajaan. (https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/10/11/dap-craves-power-will-work-with-any-party-says-shabery/)

Adalah menjadi kebiasaan untuk pemimpin parti lawan untuk sentiasa menyalahkan DAP apabila mereka sendiri mengalami krisis atau masalah dalaman.

Dari dahulu lagi sejak penubuhan, DAP sendiri faham bahawa amat mustahil untuk menjadi kerajaan negeri atau Persekutuan tanpa kerjasama politik dengan pelbagai pihak.

Segala kerjasama politik semasa pilihanraya-pilihanraya lalu adalah hanya untuk memastikan ada pertandingan ‘satu lawan satu’ menentang Barisan Nasional.

Ini juga termasuk kerjasama dengan parti lama Shabery iaitu Parti Melayu Semangat 46.

Malah semasa PRU ke-12 pada tahun 2008, DAP hanya meminta sokongan di 14 kerusi DUN di Pulau Pinang tetapi telah memenangi 19 kerusi seterusnya menubuhkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tanpa disangka juga, DAP bersama parti PKR dan PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak dan Selangor pada PRU ke-12 tahun 2008. Banyak telah berlaku pada politik tanah air sejak 12 tahun lalu.

Ahmad Shabery harus faham juga bahawa sokongan Melayu terutamanya daripada generasi baru meningkat bagi parti DAP kerana ramai mula memahami perjuangan DAP serta disiplin dan prinsip pemimpin parti yang sememangnya diterima ramai tanpa mengira latar belakang. Ini adalah salah satu sebab kenapa DAP memenangi 42 kerusi parlimen pada PRU lalu dan aman diperlukan oleh pelbagai pihak jika sesebuah kerajaan ingin ditubuhkan. Ini adalah fakta yang susah diterima oleh kebanyakan pemimpin UMNO.

Sebenarnya UMNO sahaja yang gila kuasa dan telah mencari pelbagai cara untuk tumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan yang diberi mandat oleh rakyat Malaysia. Sekarang segelintir pemimpin UMNO seperti Ahmad Shabery Cheek tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu bergantung kepada DAP jika hendak UMNO terus berkuasa selepas kerjasama Perikatan Nasional telah mula gagal.

DAP sudah menyatakan sokongan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan apa akan berlaku selepas pertemuan beliau bersama Yang Dipertuan Agong nanti adalah di luar jangkaan kita semua.

UMNO harus mula menerima realiti politik bahawa iklim politik telah berubah dan tidak akan ada mana-mana parti politik boleh mendominasi parlimen dan juga arena politik tanah air tanpa bergantung kepada parti politik lain tanpa mengira ideologi.

Muhammad Shakir Ameer
NAIB PENGERUSI DAPSY KEBANGSAAN
Kenyataan media oleh Muhammad Shakir Ameer di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 11 Oktober 2020