Seruan pertimbangan semula keputusan untuk melaksanakan PKPB selama dua minggu di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya bermula Rabu ini

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tidak bersetuju dengan keputusan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kepada keseluruhan negeri Selangor memandangkan penularan wabak Covid-19 dalam kebanyakan daerah dalam negeri tersebut masih berada dalam keadaan terkawal.

Berdasarkan data terkini daripada Selangor Task Force Covid-19 semalam, daripada 56 mukim di Selangor, hanya satu mukim (Klang) yang berada dalam zon merah dengan 53 kes, manakala 18 mukim berada dalam zon kuning dengan di antara dua ke 32 kes, dan 37 zon berada dalam zon hijau tanpa sebarang kes Covid-19.

Pelaksanaan PKPB ke atas 18 zon kuning dan 37 zon hijau — yang merupakan majoriti besar mukim-mukim dalam Selangor — adalah satu tindakan keterlaluan.

Amirudin terkejut dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPB ke atas keseluruhan negeri Selangor ini memandangkan beliau telah menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara negeri Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Selangor, polis, tentera, dan agensi-agensi lain yang terlibat dengan pelaksanaan PKPB di daerah Petaling.

Jelas sekali terdapat ketiadaan komunikasi di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor yang dibuktikan dengan keputusan untuk melaksanakan PKPB selama dua minggu tanpa pengetahuan MKN negeri mahupun Menteri Besar.

Shari mengatakan yang masih terdapat beberapa zon di Selangor yang berstatus hijau dan kuning dan dan kerajaan negeri akan menghantarkan cadangan balas kepada MKN untuk pertimbangan segera.

Beliau berkata, mesyuarat MKN negeri hanya berfokuskan kepada situasi Covid-19 di Klang, Gombak, Hulu Langat dan beberapa kawasan di Petaling yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi.

Inilah masanya untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk masuk campur dan membawa kewarasan dalam perang melawan Covid-19 ini.

Beliau perlu mengetahui pendekatan baharu dalam melawan Covid-19, di mana tindakan drakonian seperti PKPB dan sekatan penuh pergerakan ini bertindak dengan terlalu meluas, membawa kos ekonomi yang amat tinggi.

Dalam hari-hari awal penularan wabak ini, pelaksanaan langkah-langkah drakonian seperti sekatan pergerakan separa ataupun penuh ini boleh diterima memandangkan keutamaan dalam melawan wabak yang masih belum difahami ketika itu adalah untuk menyelamatkan nyawa.

Malaysia perlu belajar daripada kesilapan kita yang lalu, yang telah datang dengan harga yang tidak ternilai dan mula melaksanakan langkah-langkah sekatan pergerakan yang lebih tersasar dan bukannya melaksanakan PKPB ke atas keseluruhan negeri.

Oleh itu, saya menyokong seruan Amiruddin dan menyeru supaya pertimbangan semula diberikan kepada keputusan untuk melaksanakan PKPB selama dua minggu di Selangor, KL, dan Putrajaya bermula daripada hari Rabu ini.

Keputusan untuk melaksanakan PKPB selama dua minggu di keseluruhan Selangor, KL, dan Putrajaya ini tidak boleh menjadi sebahagian daripada reaksi tidak rasional terhadap kritikan yang diberikan terhadap kecuaian yang menyebabkan gelombang ketiga Covid-19 di Sabah.

Amatlah tidak bertanggungjawab untuk bereaksi dengan melampau dan menghukum rakyat Selangor, KL, dan Putrajaya kerana memberikan kritikan yang munasabah mengenai pengendalian gelombang ketiga Covid-19 di Sabah.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan yang keputusan untuk melaksanakan semula PKPB ini diputuskan selepas mendapatkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan selepas menyaksikan peningkatan kes Covid-19 di beberapa kawasan seperti Klang, Petaling, dan Gombak.

Bolehkah Ismail mendedahkan, bila Kementerian Kesihatan mula mencadangkan pelaksanaan semula PKPB di Sabah?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Komen media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Isnin, 12 Oktober 2020