Muhyiddin perlu menjelaskan strategi pandemik Covid-19 kerajaan, sama ada pengurangan atau penghapusan — untuk mendatarkan lekuk penularan dengan gangguan ekonomi dan sosial yang minima ataupun untuk memastikan sifar jangkitan dan kematian akibat Covid-19

Dalam pertimbangan semula Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap keputusan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama dua minggu di Selangor, KL, dan Putrajaya bermula daripada esok, saya berharap Pengerusi MKN yang juga merupakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menjelaskan strategi pandemik Covid-19 kerajaan, sama ada pengurangan atau penghapusan — untuk mendatarkan lekuk penularan dengan gangguan ekonomi dan sosial yang minima ataupun untuk memastikan terdapat sifar jangkitan dan kematian akibat Covid-19.

Perkara ini penting supaya rakyat Malaysia dapat memahami sebab dan objektif di sebalik keputusan pelbagai tindakan yang diambil, terutamanya keputusan untuk melaksanakan PKPB selama dua minggu di keseluruhan Selangor, KL, dan Putrajaya.

Terdapat pendapat yang mengatakan sekatan pergerakan, sama ada secara menyeluruh mahupun separa, adalah terlalu kasar dan datang dengan kos ekonomi yang terlalu besar, memandangkan langkah ini sukar untuk dilaksanakan dalam tempoh yang cukup panjang untuk menghapuskan penularan wabak Covid-19.

Dalam tempoh tujuh bulan yang lepas, terdapat banyak contoh langkah alternatif yang boleh memperlahankan penularan wabak ini tanpa membawa kerosakan ekonomi dan sosial yang besar.

Saya sendiri tertanya-tanya, sama ada strategi kerajaan hari ini adalah “pengurangan” ataupun “penghapusan”.

Tidak mungkin kerajaan cuba menggunapakai strategi “penghapusan” sehingga tinggal sifar kes dan kematian akibat Covid-19 memandangkan kerajaan telah membiarkan situasi Covid-19 di Sabah untuk terus menjadi teruk selama hampir sebulan sehingga mencatatkan 4,621 kes dengan 35 kematian.

Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di seluruh negara pada 18 Mac, negara kita mencatatkan sejumlah terkumpul 790 kes dan hanya dua kematian.

Tidak ada kerajaan yang akan kekal, jika strategi berhadapan Covid-19 mereka adalah “penghapusan” dan pada masa yang sama, mereka membiarkan keadaan Covid-19 di Sabah untuk terus menjadi teruk, sehingga mencatatkan 4,621 kes dan 35 kematian.

Jika strategi kerajaan adalah “pengurangan”, apakah tahap jangkitan Covid-19 yang boleh diterima kerajaan?

Muhyiddin juga perlu menjelaskan bagaimana kerajaan beliau melaksanakan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19 sedangkan Menteri Besar Selangor tidak tahu apa-apa mengenai pelaksanaan PKPB selama dua minggu di Selangor, KL dan Putrajaya bermula esok?

Rakyat Malaysia tidak berasa yakin yang kerajaan mampu membuat pertimbangan yang seimbang di antara memaksimakan kesihatan umum dan meminimakan gangguan ekonomi dan sosial yang bakal dihadapi rakyat.

Adakah kita akan mendapat berita positif daripada pertimbangan semula keputusan MKN untuk melaksanakan PKPB di Selangor, KL, dan Putrajaya?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Selasa, 13 Oktober 2020