Berharap seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang agar bersama-sama Kerajaan Negeri dan barisan frontliners kita dalam usaha mematahkan rantaian perebakan pandemik COVID-19

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi. Saya berharap anda semua berada dalam kesihatan yang baik di samping keluarga tercinta.

Bermula hari ini iaitu tepat 12:01 tengah malam tadi, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dikuatkuasakan melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang. Liputan kawasan yang terlibat adalah sebagaimana diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri dimaklumkan:-

  1. PDRM menyatakan bahawa semua pergerakan awam penguatkuasaan PKPD adalah terkawal. Kawalan tempoh 24 jam sehingga 27 Oktober 2020 adalah membabitkan 158 anggota serta pegawai daripada pasukan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
  2. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberitahu bahawa sehingga kini, kes-kes aktif Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai adalah tertumpu dalam kalangan banduan sahaja. Justeru, saringan serta pemantauan lanjut diteruskan termasuk kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang. Keadaan adalah terkawal.
  3. Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) ketat dipraktikkan semua pihak terutamanya Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang dan JKNPP. Pihak-pihak berkaitan akan membuat penilaian risiko dan mencadangkan sebarang keperluan lanjut dari semasa ke semasa.
  4. Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang memberikan kerjasama penuh kepada JKNPP, pasukan keselamatan dan MKN dalam bersama-sama menempuhi tempoh mencabar ini.

Dengan ini, saya berharap seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang agar bersama-sama Kerajaan Negeri dan barisan frontliners kita dalam usaha mematahkan rantaian perebakan pandemik COVID-19. Jangan sesekali sebar atau viralkan maklumat-maklumat tidak sahih sehingga mencetuskan panik yang tidak sepatutnya.

Kita perlu bersatu-padu sebagai satu hati dan satu jiwa untuk memenangi pertempuran ini. Pulau Pinang mampu harunginya dan menang. Penang Lawan COVID-19!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Khamis, 15 Oktober 2020