Seruan ketiga supaya Muhyiddin memanggil mesyuarat Kabinet melalui Zoom untuk menyalurkan semua sumber yang ada bagi membantu usaha melawan gelombang ketiga Covid-19 di Sabah

Saya membuat seruan buat kali ketiga kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memanggil satu mesyuarat Kabinet tergempar melalui Zoom, untuk menyalurkan semua sumber yang ada bagi membantu usaha melawan gelombang ketiga Covid-19 di Sabah.

Jika tidak ada sebarang tindakan daripada beliau, langkah seterusnya untuk saya adalah untuk menyeru beliau untuk meletakkan jawatan kerana kegagalan dan ketidakcekapan Kabinet beliau.

Persoalan juga akan timbul, mengenai sama ada kuarantin di rumah Perdana Menteri atau menteri selama 14 hari ini bermakna seseorang menteri itu bercuti dan bukannya masih menjalankan tugas beliau daripada rumah masing-masing.

Sedia adanya, negara kita seakan-akan tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan sejak berlakunya episod bencana “air suam” Adham Baba, yang berlaku dua minggu selepas beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan, episod yang kemudiannya disusuli dengan kesilapan “500 negara dan 15 negeri” beliau.

Akibatnya, tinggal hanya Ketua Pengarah Kesihatan bersama-sama dengan para petugas barisan hadapan yang menggerakkan peperangan melawan wabak Covid-19 ini, walaupun semasa Ketua Pengarah Kesihatan sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas seorang Menteri Kabinet yang didapati positif dijangkiti Covid-19.

Perlu kita ingati, dalam dua minggu pertama selepas menjadi Menteri Kesihatan, terdapat waktu-waktu di mana Adham Baba sendiri mengumumkan perkembangan terkini dan statistik mengenai Covid-19, tetapi selepas insiden “air suam” dan “500 negara dan 15 negeri”, perkara ini tidak berlaku lagi.

Adham Baba ini dari UMNO, tetapi yang ironinya, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merungut mengenai UMNO dipersalahkan kerana berlakunya gelombang ketiga Covid-19 sedangkan beliau percaya semuanya adalah salah Bersatu!

Tidakkah UMNO mempunyai mana-mana Ahli Parlimen lain yang lebih kompeten dan efisien sebagai Menteri Kesihatan?

Tetapi, bukan Kementerian Kesihatan sahaja yang beroperasi seakan-akan tidak mempunyai seorang menteri, perkara ini juga berlaku dalam kementerian lain, terutamanya Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sejak pelarian menterinya selepas beliau pulang daripada Turki pada 7 Julai, dengan mengingkari perintah SOP kuarantin Covid-19 dan membahayakan nyawa serta kesihatan para menteri dan ahli parlimen lain.

Kementerian lain, seperti Pendidikan dan Pengajian Tinggi, tidak berjaya menjadi contoh yang kompeten, efisien, dan berpandangan jauh juga.

Bukanlah satu kenyataan yang keterlaluan apabila dikatakan rakyat Malaysia terseksa di bawah satu kerajaan yang paling lemah, paling tidak kompeten, dan paling tidak bertanggungjawab sejak penubuhan kerajaan pintu belakang Muhyiddin selepas berlakunya konspirasi Langkah Sheraton, yang membawa bukan sahaja gelombang kedua penularan Covid-19, tetapi juga gelombang ketiga wabak ini.

Dalam 14 hari tempoh berkempen pilihan raya negeri Sabah, Muhyiddin telah melawat Sabah sebanyak tiga kali, dan beliau menjanjikan lebih banyak bantuan dan peruntukan akan diberikan kepada Sabah untuk manfaat rakyat Sabah jika kerajaan negeri Sabah sejajar dengan kerajaan Persekutuan.

Adakah Sabah akan menjadi tempat pertama yang dilawat beliau selepas kuarantin di rumah selama 14 hari kerana wabak Covid-19?

Muhyiddin dilihat seperti telah mengabaikan rakyat Sabah untuk berhadapan dengan takdir mereka bersendirian selepas membawa gelombang ketiga wabak ini ke Sabah dan bukannya memenuhi janji pilihan raya beliau kepada rakyat Sabah.

Bilakah gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini bermula dan bilakah gelombang ini akan memuncak dan mula untuk mendatar?

Secara rasminya, gelombang ketiga ini bermula pada 20 September, tetapi, ia mungkin bermula pada 12 September, pada hari penamaan calon PRN Sabah, ataupun lebih awal lagi.

Pada 1 September, Sabah berada di tempat ke-enam dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 tertinggi, mencatatkan 426 kes, berbanding dengan KL (2,587 kes), Selangor (2.174 kes), Negeri Sembilan (1.034 kes), Johor (751 kes) dan Sarawak (699 kes).

Dari segi jumlah korban nyawa terkumpul, Sabah berada di tempat ke-lima pada masa itu, dengan Negeri Sembilan dengan lapan kematian, selepas Selangor (24), Johor (21), Sarawak (19) dan Kuala Lumpur (18).

Kini, Sabah adalah negeri dengan jumlah terkumpul tertinggi untuk kedua-dua kes jangkitan dan korban nyawa, dengan sejumlah 6,286 kes dan 51 kematian, daripada 18,758 kes dan 176 kematian di seluruh negara. Selangor, negeri di tempat kedua, mencatatkan 3,014 kes dan 24 kematian manakala di tempat ketiga, Kuala Lumpur mencatatkan 2,824 kes dan 19 kematian.

Adakah ini “hadiah” kepada rakyat Sabah yang mengundi kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang selari dengan kerajaan Persekutuan?

Mengadakan mesyuarat khas kabinet melalui Zoom untuk memenuhi janji Muhyiddin kepada rakyat Sabah yang dibuat semasa PRN Sabah untuk menyalurkan semua sumber yang ada ke Sabah dalam usaha untuk membantu melawan gelombang ketiga Covid-19 di Sabah ini amatlah penting dan mendesak, terutamanya selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah telah memanggil para sukarelawan daripada luar Sabah untuk datang membantu melawan wabak Covid-19 ini di Sabah, dan selepas amaran daripada pakar epidemiologi, Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, yang mengatakan sistem kesihatan awam Sabah mungkin akan runtuh dalam beberapa minggu yang akan datang jika kes terus meninggkat pada kadar sedia ada di negeri Borneo tersebut.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Sabtu, 17 Oktober 2020