Adakah Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri pada hari Khamis hadapan, 26 November 2020?

Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia pada hari Khamis hadapan, 26 November 2020, atau adakah beliau akan menjadi Perdana Menteri dengan penggal terpendek dalam sejarah negara?

Beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri pada hari Khamis hadapan jika Belanjawan 2021 ini dikalahkan dalam bacaan kedua di Parlimen, yang dijangkakan akan diundi pada 25 November 2020.

Namun, beliau kelihatan seperti tidak melakukan apa-apa untuk memastikan Belanjawan 2021 ini akan diluluskan, walaupun para Ahli Parlimen Pembangkang sentiasa beringat kepada nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang menggesa supaya semua rakyat Malaysia menunjukkan perpaduan untuk memastikan Belanjawan 2021 ini dapat diluluskan dalam semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19 ini.

Adakah Belanjawan 2021 ini boleh diluluskan jika terdapat sebuah referendum kebangsaan terhadapnya?

Saya berasa ragu-ragu, memandangkan Belanjawan 2021 ini adalah belanjawan yang biasa dalam waktu yang luar biasa, sedangkan ia sepatutnya menjadi sebuah belanjawan luar biasa untuk waktu yang luar biasa.

Apa yang lebih teruk, kelihatan seakan-akan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang mengambil kesempatan ke atas keadaan semasa yang luar biasa dan nasihat daripada Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk cuba mendapatkan satu cek kosong daripada Ahli-ahli Parlimen, sedangkan beliau sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mencipta sejarah dengan membentuk sebuah Belanjawan Perpaduan 2021 — sebuah belanjawan yang luar biasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak untuk satu waktu yang luar biasa.

Disebaliknya, apa yang kita dapat adalah Belanjawan 2021 yang cuba untuk menyeludup sejumlah besar RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Seperti yang telah didedahkan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, JASA telah beroperasi dengan belanjawan tersorok di bawah pemerintahan Najib dengan hampir RM80 juta setiap tahun, mengelakkan penelitian awam dan semak imbang Parlimen.

Mengapakah mantan Ketua Pengarah JASA, Puad Zarkashi terus mendiamkan diri?

Saya tidak fikir yang Tengku Zafrul tahu apa itu jasa dan operasi-operasi rahsianya, dan melainkan terdapatnya arahan khusus daripada Perdana Menteri supaya peruntukan rahsia ini dibuang, tidak akan ada sebarang pindaan terhadap Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 ini seharusnya menjadi sebuah belanjawan yang luar biasa untuk menyatukan semua rakyat Malaysia dalam satu waktu yang luar biasa semasa negara dilanda wabak Covid-19, dan bukanlah sebuah belanjawan biasa dengan peruntukan rahsia untuk mengelakkan penelitian awam dan semak imbang Parlimen.

Mungkin Muhyiddin sedang diperas dan dihalang daripada membolehkan beliau untuk menjadikan Belanjawan 2021 ini sebuah belanjawan luar biasa untuk waktu yang luar biasa, dan jika benar, maka tidak ada apa-apa yang bersifat “perpaduan”, “kebangsaan”, ataupun “luar biasa” dengan Belanjawan 2021 ini.

Perkara ini akan menjadi ujian kritikal terhadap perwatakan Perdana Menteri kelapan Malaysia!

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 17 November 2020