Perikatan Nasional lebih prihatin dalam memainkan politik sahaja dan tidak berminat secara langsung untuk mengatasi masalah isu pengangkutan yang dihadapi oleh Rakyat Pulau Pinang

Selepas Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan Kerajaan Persekutuan, satu fenomena yang aneh telah berlaku dan ini dapat dirasai oleh kebanyakan rakyat di Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Perikatan Nasional seolah-olahnya tidak berminat atau tidak memberikan perhatian khususnya dengan hal ehwal dan isu yang berkaitan dengan pengangkutan di Negeri Pulau Pinang.

Umum mengetahui bahawa isu kerosakan feri yang berlaku pada 24 Ogos tahun ini merupakan satu tanda penting yang menunjukkan sistem pengurusan dan pengendalian mod pengangkutan yang penting untuk Pulau Pinang tersebut. Susulan daripada itu, beberapa pengumuman telahpun dibuat namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan yang telah diambil oleh mana-mana pihak, mahupun Prasarana Malaysia Berhad, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang atau Kementerian Pengangkutan untuk memastikan kejadian perkhidmatan tergendala ini dapat dielakkan.

Selain daripada itu, jawapan bertulis oleh Kementerian Pengangkutan kepada Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Sdr. Chow Kon Yeow di sidang Parlimen baru-baru ini turut menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk tidak melaksanakan kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan alasan bahawa bilangan penumpang dan permintaan yang kian merosot.

Meskipun kesan wabak COVID-19 ini telah mendatangkan impak besar terhadap industri penerbangan, namun Kerajaan Persekutuan seharusnya melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang telah mencapai kapasiti maksima ini pada kadar segera sekiranya menganggarkan pemulihan ekonomi akan berlaku pada tahun depan, seperti mana unjuran yang dibuat di dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2021.

Selain daripada membatalkan projek kereta kabel Bukit Bendera yang bernilai RM100 juta, permohonan yang berkaitan dengan pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak menerima maklum balas yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan. Antara keputusan penting yang telah dibuat oleh Kementerian Pengangkutan Kerajaan Perikatan Nasional adalah lantikan politik Pengerusi MCA Pulau Pinang sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sahaja.

Sebagai rumusan untuk isu-isu yang dibangkitkan tersebut, nampaknya Perikatan Nasional lebih prihatin dalam memainkan politik sahaja dan tidak berminat secara langsung untuk mengatasi masalah isu pengangkutan yang dihadapi oleh Rakyat Pulau Pinang.

Ini adalah langsung berbeza dengan pendekatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang telah melancarkan perkhidmatan CAT Bridge secara percuma untuk menjalinkan dan mengurangkan jurang mobiliti penduduk Seberang Perai dan Pulau, sebagai usaha untuk mengatasi masalah pengangkutan yang dihadapi oleh Rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri tidak memberikan alasan seperti permintaan merosot dan bertekad untuk menyampaikan sebuah sistem pengangkutan yang lebih baik untuk Rakyat Pulau Pinang.

Gooi Zi Sen
ADUN Pengkalan Kota
Kenyataan media oleh Gooi Zi Sen di George Town pada hari Selasa, 17 November 2020