Menteri Kesihatan tidak sepatutnya merendah-rendahkan keseriusan peningkatan wabak Covid-19 semasa negara kita berpotensi untuk mengatasi China, yang sebelum ini merupakan negara nombor 1 di dunia dengna jumlah kes terkumpul tertinggi pada peringkat awal penularan wabak ini, jika Malaysia tidak dapat untuk mengurangkan peningkatan harian kes empat angka

Daripada membantu mengurangkan keresahan dan kekurangan keyakinan rakyat terhadap respons kerajaan terhadap isu pandemik Covid-19 dengan kemunculan beliau sebagai tetamu jemputan dalam rancangan temu bual bersama dengan program Selamat Pagi Malaysia yang diterbitkan oleh RTM, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah melakukan perkara yang berlawanan.

Beliau mengatakan yang kadar pemulihan Covid-19 semasa adalah lebih tinggi berbanding dengan dua gelombang sebelum ini — dengan memetik statistik pemulihan dan keluar hospital yang berada pada paras 73.4 peratus daripada sejumlah 48,520 kes yang dicatatkan, di mana masih terdapat 12,601 kes aktif.

Perkara ini bertentangan dengan apa yang sering diulangi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini semasa beliau melancarkan kempen norma baharu di Pagoh pada 8 Ogos, yang mendakwa sebelum ini Malaysia mempunyai kadar pemulihan Covid-19 tertinggi di dunia — memetik statistik yang mengatakan 8,728 daripada 9,063 orang telah sembuh, kira-kira 96.3% kadar pemulihan.

Selepas insiden “air suam”, “500 negara”, dan “15 negeri di Malaysia”, adakah beliau sedang melakukan satu lagi kesilapan?

Apa yang lebih serius lagi, adakah Menteri Kesihatan ini sedang cuba merendah-rendahkan keseriusan peningkatan mendadak kes Covid-19 semasa, di mana Malaysia bakal mengatasi China, yang sebelum ini merupakan negara nombor 1 di dunia dengna jumlah kes terkumpul tertinggi pada peringkat awal penularan wabak ini, jika Malaysia tidak dapat untuk mengurangkan peningkatan harian kes empat angka.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 1,210 peningkatan kes Covid-19 baharu, hari kelima berturut-turut di mana peningkatan harian berada dalam julat empat angka.

Dalam tempoh awal penularan wabak ini, semasa China berada di tempat pertama di seluruh dunia dengan jumlah kes tertinggi, Malaysia berada di tempat ke-18.

Hari ini, China berada di tempat ke-64 di seluruh dunia, dengan 86,831 kes Covid-19. Jauh di belakang 11 negara yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes, yang didahului oleh Amerika Syarikat dengan lebih dari 11.6 juta kes, diikuti oleh India dengan lebih dari 8.9 juta kes, Brazil di tempat ketiga dengan lebih daripada 5.8 juta kes, dan Perancis dan Rusia sebagai negara keempat dan kelima dengan lebih daripada 1.9 juta kes.

Malaysia kini berada di tempat ke-85 dengan 49,730 kes Covid-19. Di Asia Tenggara, di mana Malaysia mula menonjol sebagai negara dengan jumlah kes tertinggi, Indonesia dan Filipina kini telah mengatasi bukan sahaja Malaysia, tetapi juga China dengan berada di tempat ke-21 dengan 474,455 kes dan tempat ke-26 dengan 410,718 kes.

Namun, jika peningkatan harian di Malaysia terus kekal berada di dalam julat empat angka, menjelang penghujung tahun 2020, negara kita akan mengatasi China dengan mencatatkan lebih banyak jangkitan Covid-19!

Kemunculan Adham Baba sebagai tetamu khas program rancangan pagi RTM adalah satu perkara yang mengecewakan, memandangkan beliau tidak melakukan apa-apa pun untuk menyelesaikan masalah krisis kekurangan keyakinan terhadap kerajaan dan respons kerajaan dalam berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia, kerana kerajaan telah gagal untuk mengambil pendekatan dan pemikiran yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 selepas sepuluh bulan bergelut dengan wabak ini.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 18 November 2020