DAP merakamkan ucapan takziah kepada Parti Warisan Sabah dan keluarga Manis Muka Mohd Darah

DAP merakamkan ucapan takziah kepada Parti Warisan Sabah dan keluarga Manis Muka Mohd Darah, wakil rakyat Parti Warisan Sabah dari Bugaya, yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang. Arwah Manis adalah ahli politik yang popular apabila mengekalkan kerusi beliau dengan majoriti 6,005 undi dalam pilihan raya umum Sabah baru-baru ini.

Pemergian Manis mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan dan keselamatan awam, ketika Sabah berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan COVID-19. Untuk mengatasi gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang teruk, semua parti politik harus memberi laluan kepada Warisan pada pilihan raya kecil nanti.

Ketua Menteri Sabah yang baru Hajiji Noor harus menghormati mandat pengundi di Bugaya pada pilihan raya umum negeri baru-baru ini dan mementingkan kesihatan dan keselamatan awam daripada kempen politik pada pilihan raya kecil nanti. Sebagai bekas pesakit positif COVID-19 sendiri, Hajiji sudah tentu mengetahui bahaya yang ditimbulkan oleh jangkitan COVID-19 berikutan pilihan raya umum negeri Sabah.

Rakyat Sabah tidak boleh terdedah kepada satu lagi kempen pilihan raya setelah mereka terpaksa pergi mengundi berikutan usaha khianat memaksa pertukaran kerajaan di Sabah melalui politik wang dan percubaan membeli wakil rakyat. Mengutamakan rakyat daripada politik akan menjadi permulaan yang baik bagi Ketua Menteri yang baru, yang baru saja pulih daripada COVID-19.

Membenarkan Warisan menang Bugaya tanpa bertanding akan membuktikan kepada rakyat bahawa Hajiji komited untuk memerangi dan mengatasi ancaman COVID-19 bersama-sama dengan semua pihak.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 18 November 2020