Teks perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 oleh ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2021 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada hari Isnin yang lepas.

Terima kasih kepada barisan depan, Frontliner yang kita hormati kerana melindungi Negeri Pahang bebas daripada wabak COVID-19 yang menular di seluruh negara.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, atas usaha dan kerjasama kedua-dua kerajaan ini telah berjaya membawa projek berimpak tinggi ke Cameron Highlands berturut-turut tahun, iaitu pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja yang diumumkan tahun 2019 dan projek Jalan Pintasan yang boleh mengatasi kesesakan lalu-lintas Cameron Highlands pada tahun ini. Saya berharap projek-projek ini boleh dilaksanakan secepat mungkin.

Yang Berhormat Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mencadangkan pihak Kerajaan agar memperhalusi lagi mekanisme dan kadar sewaan tanah kebun berjumlah RM4500.00 satu ekar setahun di Daerah Cameron Highlands.

Saya terima maklum balas dari Pahang Corporation bahawa kadar sewaan itu adalah muktamad melalui jawatan bertulis yang lalu. Merujuk kepada jawapan yang diberi oleh Pahang Corporation, kadar itu adalah rendah jika dibandingkan dengan kes terdapat beberapa pemilik LPS yang sanggup menyewakan tanah kepada pihak lain dengan kadar sewaan yang lebih tinggi.

Dakwaan ini tidak berapa wajar dan adil kepada pekebun yang majoritinya berusaha persendirian kerana hanya segelintir yang melanggar peraturan tetapi semua yang disabitkan, seumpamanya sebab nila setitik, rosaknya susu sebelanga.

Tambahan pula, bukannya semua pekebun menanam tanaman yang mampu menjana hasil yang tinggi seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Oleh itu, saya mohon pihak Kerajaan mempertimbangkan untuk memperhalusi kadar sewaan dengan mewujudkan 2 kategori, iaitu untuk kebun yang di bawah 2 ekar, berilah potongan sekurang-kurangnya 50% manakala yang melebihi 2 ekar, boleh kekalkan kadar sewaan yang telah ditetapkan.

Pengusaha berskala kecil di bawah 2 ekar tidaklah ramai. Saya yakin, inisiatif tersebut tidak akan menjejaskan hasil pendapatan Negeri dan pastinya boleh mengelakkan adanya pekebun berskala kecil daripada dipinggirkan akibat penularan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

Keindahan alam semulajadi menakjubkan yang ada pada Cameron Highlands telah menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan luar negara.

Pelancong datang ke Cameron Highlands bukan lagi untuk membeli belah atau bermalam makan steamboat, tetapi untuk tujuan eko-pelancongan.

Eko-pelancongan ini adalah satu perkembangan baharu di Cameron Highlands di mana pelancong datang untuk mendaki gunung, merentas hutan dengan kereta pacuan empat roda, berkhemah di kawasan hutan dengan bimbingan orang asli tempatan.

Kebanyakan destinasi eko-pelancongan ini bukannya di Tanah Rata dan Brinchang, tetapi di kawasan Orang Asli seperti Pos Lemoi dan Pos Telanuk.

Perkara ini memerlukan penyelarasan baharu dari segi panduan pelancongan, publisiti dan kawalan keselamatan.

Oleh itu, saya mencadangkan pihak kerajaan supaya berkerjasama dengan Kementerian Pelancongan dengan mendirikan satu Pusat Informasi atau Agensi Pelancongan di Cameron Highlands bagi menyelaraskan semua urusan pelancongan berkaitan di sini termasuk eko-pelancongan yang semakin berkembang.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

Cadangan Ketiga berhubung pangkalan data Persidangan Dewan Negeri. Terima kasih kepada Dewan Negeri kerana mula memuat naik dokumen-dokumen mesyuarat berkenaan termasuk jawapan bertulis ke Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pahang.

Hal ini merupakan jejak pertama ke arah menjadi sebuah Institusi Perundangan bertaraf dunia yang telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Namun begitu, saya ingin mencadangkan penambahbaikan usaha ini. Saya berharap Dewan Negeri boleh melakukan pengkelasan soalan kita masing-masing dan mewujudkan portal carian supaya ahli-ahli Berhormat Dewan mahupun orang awam boleh merujuk perkara-perkara berkaitan dengan lebih efisien.

Akhirnya, tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa mendengar keluhan rakyat dan memberikan Bantuan Prihatin Pahang 2021 bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di Negeri Pahang terjaga.

Namun begitu, saya berharap Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan agar Bantuan Khas Kewangan juga boleh diberikan kepada penjawat awam yang telah bersara bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka sepanjang tempoh khidmat.

Yang Berhormat Tuan yang Dipertua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, agensi dan badan berkanun kerajaan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Negeri Pahang.

Jawapan bertulis daripada Pahang Corporation mk 1 & mk 2

Chiong Yoke Kong
ADUN Tanah Rata
Teks perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 oleh Chiong Yoke Kong pada hari Rabu, 18 November 2020