Parlimen harus menggunakan Perintah Tetap 77 (1) (d) bagi membolehkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat skandal 1MDB sekaligus memanggil Najib dan Jho Low untuk memberi keterangan

Sepanjang bulan yang lepas, Malaysia telah dihantui dengan skandal kewangan 1MDB — dengan pengakuan bersalah Goldman Sachs yang berpangkalan di Amerika Syarikat atas pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dalam skandal 1MDB, “skim penipuan global untuk menjarah berbilion dolar” daripada rakyat Malaysia, dan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di mana mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencemarkan martabat dan kemuliaan Parlimen dengan memberikan perbahasan selama 90 minit sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) tanpa menjelaskan peranannya sebagai “Malaysian Official 1 (MO1)” yang telah mengheret negara ke dalam jurang penuh keaiban, memalukan dan tidak bermoral yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Najib telah dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai lalu atas pertuduhan pertama berkaitan 1MDB berhubung tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Najib nampaknya membisu selepas agensi berita antarabangsa Al Jazeera menyiarkan laporan penyiasatan khas bertajuk Jho Low: Hunt For A Fugitive yang menerangkan selok belok cubaan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low untuk membuat perjanjian dengan kerajaan Pakatan Harapan bagi mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman penjara atas kesalahan membabitkan skandal 1MDB.

Pada sesi Parlimen ke-13, skandal 1MDB dihalang daripada dibahaskan, meskipun isu itu sering menjadi tajuk utama media antarabangsa, berikutan menjadi subjek siasatan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang asing dari sekurang-kurangnya sepuluh negara, termasuk Australia, Hong Kong, Indonesia, Luxembourg, Seychelles, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions menyifatkan skandal 1MDB sebagai “kleptokrasi paling buruk”!

Pada Julai 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memulakan proses litigasi kleptokrasi membabitkan skandal 1MDB, di mana seorang pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai kuasa terhadap 1MDB disebut lebih daripada 30 kali sebagai “Malaysian Official 1 (MO1)”.

Pada September 2016, Najib disahkan sebagai “MO1” oleh Abdul Rahman Dahlan, yang ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada April 2020, sejumlah AS$300 juta dari 1MDB telah dikembalikan kepada Malaysia oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Ia merupakan dana yang diperoleh daripada rampasan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi di Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Sebanyak AS$620 juta wang 1MDB telah dikembalikan kepada Malaysia oleh Kerajaan AS dan proses untuk menjual aset berkaitan 1MDB yang telah dilucut hak ini masih sedang berjalan.

Sekiranya Najib terus menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, adakah Najib akan menerima pengembalian wang 1MDB sebanyak AS$620 juta dari Kerajaan AS?

Selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018, Parlimen dijadikan wadah pemimpin BN untuk mengambarkan 1MDB sebagai “berita palsu”.

Sudah tiba masanya Parlimen menebus kehormatan, martabat dan integritinya dengan menggali hingga ke dasar skandal 1MDB, yang pada tahun 2015 menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Peguam Negara, serta penyusutan kuasa Parlimen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) harus mengemukakan laporan siasatannya berhubung skandal kewangan 1MDB untuk menebus kehormatan, maruah dan integriti Parlimen — dan mendedahkan keseluruhan kisah buruk skandal 1MDB dari awal.

Dalam siasatannya, PAC harus memanggil semua individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB untuk memberi keterangan, tidak kiralah Menteri atau pegawai awam yang merupakan pembela individu dalam kes tersebut sebelum 2018 seperti bekas Perdana Menteri Najib Razak, Menteri Kabinet Abdul Rahman Dahlan, Ketua Pengarah JASA Puad Zarkashi, mantan Peguam Negara Mohamad Apandi Ali atau mereka yang menjadi mangsanya, seperti mantan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mantan Peguam Negara Abdul Ghani Patail, mantan Menteri Kabinet Shafie Apdal serta beberapa pegawai SPRM dan polis.

PAC juga patut menjemput wakil-wakil agensi penguatkuasaan undang-undang negara lain dan juga wakil media, baik tempatan mahupun antarabangsa, untuk memberi keterangan mengenai siasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

PAC juga harus mempertimbangkan sama ada sepatutnya diberikan ‘laluan selamat’ (safe passage) kepada salah seorang daripada dua dalang skandal 1MDB, iaitu Jho Low, untuk pulang ke Malaysia bagi memberi keterangan.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 19 November 2020