Adakah Malaysia telah hilang kawalan ke atas gelombang ketiga pandemik Covid-19?

Malaysia mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 kedua tertinggi semalam — 1,290 kes baru dan empat kematian dengan jumlah terkumpul sebanyak 51,680 kes Covid-19 dan 326 kematian.

Sekiranya jangkitan Covid-19 meningkat pada purata harian seperti minggu lalu, iaitu 1,127 kes sehari, kita berkemungkinan akan mengatasi China pada akhir tahun ini sebagai negara yang mempunyai lebih banyak jangkitan Covid-19.

Hari ini, China berada di kedudukan ke-65 dengan 86,381 kes Covid-19, jauh di belakang sebelas negara yang telah melepasi jutaan kes Covid-19, didahului oleh Amerika Syarikat dengan lebih daripada 12 juta kes, kedua India dengan lebih daripada 9 juta kes, ketiga Brazil dengan hampir enam juta kes, keempat Perancis dan kelima Rusia dengan setiap negara mencatatkan lebih dua juta kes.

Jumlah kumulatif global untuk kes Covid-19 telah melepasi angka 57 juta sementara jumlah kumulatif global untuk kematian telah melebihi 1.36 juta nyawa.

Pada tempoh awal wabak Covid-19, ketika China adalah negara Nombor satu teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19, Malaysia berada di tangga ke-18 di dunia untuk jangkitan Covid-19.

Malaysia mencapai kemajuan yang cukup besar, pun begitu dengan kemunculan gelombang ketiga wabak ini, kita telah ketinggalan dan dikalahkan beberapa negara lain dan kini berada di tempat ke-84 antara negara-negara di dunia dengan 51,680 kes.

Sekiranya kita meneruskan kenaikan empat angka jangkitan Covid-19 setiap hari, kita akan mengatasi Singapura dalam tempoh seminggu dan China pada akhir tahun sebagai negara dengan lebih banyak jangkitan Covid-19.

Adakah kita telah kehilangan kawalan ke atas gelombang ketiga wabak Covid-19?

Kita harus mengakui bahawa walaupun pandemik Covid-19 tidak begitu buruk seperti negara-negara yang lain, sama ada dari segi jangkitan atau kematian (Mexico baru saja melaporkan hampir 100,000 kematian, sementara Amerika Syarikat mencatatkan lebih daripada 258,000 kematian; Brazil lebih daripada 168,000 kematian dan India lebih dari 132,000 kematian), Malaysia nampaknya telah hilang arah dalam peperangan melawan pandemik Covid-19.

Enam bulan lalu, saya telah menyarankan supaya kerajaan menerapkan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” bagi memerangi pandemik Covid-19, tetapi nasihat ini tidak diendahkan.

Kerajaan perlu menggunakan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” jika mahu perang melawan pandemik Covid-19 ini berjaya.

Rakyat Malaysia bersedia untuk bersatu dan menunjukkan disiplin bagi memenangkan peperangan melawan pandemik Covid-19, namun Menteri dan pemimpin kerajaan tidak menunjukkan tauladan yang sepatutnya.

Kerajaan Perikatan Nasional hanya berminat menggunakan wabak Covid-19 untuk menyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia dan menggantung Parlimen, dan inilah sebabnya mengapa hari Khamis depan akan menjadi hari penentu untuk demokrasi berparlimen di Malaysia.

Tidak ada respons yang positif terhadap usaha pihak Pembangkang bagi mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan (confidence and supply agreement) untuk memungkinkan Belanjawan 2021 diluluskan, sekaligus memungkinkan penerapan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam pertempuran menentang wabak Covid-19.

Mungkinkah kerajaan Muhyiddin akan menunjukkan respons yang menggalakkan terhadap cadangan persetujuan keyakinan dan pembekalan dalam bacaan kedua pembentangan Belanjawan 2021 nanti? Sekaligus membolehkan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” digunakan dalam pertempuran menentang wabak Covid-19?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 20 November 2020