Kerajaan Malaysia perlu memastikan proses mendapatkan status sah pekerja asing tanpa izin mudah, ringkas, dan tersedia meluas. Kita juga perlu memastikan pekerja asing tidak lagi hidup dalam keadaan yang tidak berkeperimanusiaan hanya kerana status tidak sah mereka

Pada 12 November 2020, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang mempunyai dua komponen utama — Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang akan dilaksanakan bermula 16 November 2020 sehingga 30 Jun 2021 untuk pendatang asing tanpa izin yang berada dalam negara.

Pelan Rekalibrasi ini hanya melibatkan Semenanjung Malaysia.

Menteri juga mengumumkan bahawa rancangan ini hanya melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tanpa penglibatan sebarang pihak ketiga.

Pelan Rekalibrasi ini hanya dibenarkan dalam 4 sektor, iaitu pembinaan, pembuatan, perladangan, dan agrikultur.

Pemohon perlu memohon kepada JTKSM untuk mendapatkan kuota untuk mengambil pekerja asing dan memohon kepada JIM melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) untuk proses mendapatkan status sah. Carta alir proses ini dilampirkan bersama. Proses ini agak menyusahkan, terutamanya memandangkan hanya satu pejabat JIM di Putrajaya yang akan memproses semua permohonan dari keseluruhan Semenanjung Malaysia.

Pada 5 Disember 2020, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengejutkan ramai pihak dengan menyatakan bahawa rancangan rekalibrasi tenaga kerja ini hanya membolehkan majikan untuk mendapatkan status sah kepada pekerja asing yang sedang bekerja dengan mereka dan pengambilan pekerja baru yang diambil dari depot tahanan imigresen. Bagaimanakah majikan boleh membuktikan bahawa mereka adalah pekerja sedia ada sedangkan tidak ada rekod rasmi pekerja haram ini diambil oleh mereka? Mereka yang berhasrat untuk mengambil pendatang tanpa izin yang ditahan di depot tahanan imigresen bekerja harus membiayai penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang ditahan di kemudahan ini dengan nisbah seorang kepada seorang! Jelas Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai niat untuk menyelesaikan masalah pekerja asing tanpa izin di Malaysia. Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa Kementerian Dalam Negeri berhasrat untuk mengekalkan keadaan semasa supaya golongan yang mempunyai kepentingan peribadi dapat memperoleh berjuta-juta ringgit daripada kesukaran yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan status sah bagi pekerja asing seperti yang didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen. Kami memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk segera bertindak untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa seperti ini di Kementerian Dalam Negeri.

Walaupun Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan bahawa tidak ada pihak ketiga yang akan terlibat dalam proses permohonan mendapatkan status sah pekerja asing tanpa izin, Kementerian Dalam Negeri telah mewujudkan satu situasi di mana ejen mampu untuk meminta sehingga RM17,000 untuk membantu pekerja asing tanpa izin mendapat status sah!

Rakyat Malaysia dan negara kita terpaksa menanggung malu apabila laporan berita muncul di negara asing bagaimana pekerja asing kita diperlakukan dengan sebegitu buruk dan hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan. Perlakuan buruk dan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan sering disebabkan oleh status tidak sah para pekerja ini. Pekerja tidak sah tidak berani untuk mendapatkan rawatan perubatan walaupun mereka sakit atau cedera. Ramai yang tinggal di hutan untuk mengelakkan dikesan. Sebilangan wanita melahirkan anak tanpa bantuan perubatan di hutan. Yang lain telah memberi rasuah kepada polis atau pegawai penguat kuasa untuk mengelakkan ditangkap. Dengan meningkatnya jumlah kes COVID 19 di negara ini, sebilangan pekerja mungkin cuba mengelakkan daripada melalui ujian saringan kerana bimbang mereka akan ditahan.

Kita perlu memberikan layanan yang baik kepada pekerja asing memandangkan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara kita. Walau bagaimanapun, sektor pekerja asing ini perlu dikawal selia. Memberikan status sah kepada pekerja asing tanpa izin dapat membantu kita memantau mereka dan juga melindungi mereka. Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan terdapat 3.3 juta pekerja asing tanpa izin di Malaysia berbanding 2.2 juta pekerja asing sah.

Kami meminta kerajaan untuk menjadikan JTKSM sebagai pusat sehenti untuk memberikan status sah kepada pekerja asing tanpa izin dan supaya JTKSM menubuhkan sekurang-kurangnya satu pusat di setiap daerah untuk memproses permohonan tersebut kerana terdapat banyak pekerja asing yang tidak sah yang perlu disahkan statusnya. Proses ini perlulah mudah, ringkas, dan tersedia meluas kepada majikan. Pada masa yang sama, kerajaan harus menangani sebab mengapa pekerja asing ini menjadi “tidak sah” (contohnya, kerana mereka enggan bekerja untuk majikan yang tidak memperlakukan mereka dengan adil) dan menetapkan polisi baharu untuk memastikan hak-hak pekerja asing ini dilindungi.


Ngeh Koo Ham
AHLI PARLIMEN BERUAS
Kenyataan media oleh Ngeh Koo Ham bagi pihak Pasukan Tindakan Hal Ehwal Dasar Pekerjaan dan Buruh DAP di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 12 Januari 2021