Patuhi SOP dan amalkan amalan 4P demi orang tersayang serta komuniti kita

Salam sejahtera kepada rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Kita menghadapi cabaran lebih getir kini apabila berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang mana kes dilaporkan di negeri Pulau Pinang telah mencecah tiga angka pada penghujung tahun lalu.

Sebagaimana ditekankan dalam kenyataan saya semalam, sekali lagi saya menyeru rakyat negeri ini supaya menerima keputusan dan memberikan kerjasama penuh demi menjayakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua minggu ini iaitu mulai esok, 13 Januari hingga 26 Januari 2021. Kita perlu faham bahawa PKP adalah amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara kini.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang Perintah Kawalan Pergerakan Menangani Wabak COVID-19 yang dipengerusikan oleh saya pada pagi ini telah dimaklumkan serta memutuskan beberapa ketetapan berikut:-

  1. Mesyuarat mengambil maklum berhubung pengumuman khas darurat oleh YAB Perdana Menteri sebentar tadi dan kerjasama penuh akan diberikan;
  2. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa terdapat lapan (8) kluster aktif di Pulau Pinang sehingga 11 Januari 2021;
  3. Berhubung Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah, Kerajaan Negeri pada 11 Januari 2021 telah mengutus surat kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung cadangan lokasi baharu di (a) Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan dan (b) Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, Daerah Timur Laut dengan permohonan peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara. Kedua-dua lokasi ini masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit;
  4. Sebanyak 39 Sekatan Jalan Raya (SJR) membabitkan 1,142 keanggotaan akan dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP;
  5. JKNPP diminta mengutarakan kepada pihak Kementerian berhubung inisiatif pihak-pihak swasta di negeri ini antaranya, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja mereka; dan kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) yang bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini;
  6. Rujuk prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan oleh pihak kementerian dari semasa ke semasa sebagai panduan lanjut.

Kerjasama dan ikhtiar bersama adalah diperlukan dalam memenangi pertempuran ini. Pada aspek pertimbangan kesihatan awam dan ekonomi, kita perlu akui bahawa adalah sukar untuk mencapai keseimbangan antara kedua-dua aspek berkaitan. Justeru, kita perlu membuat pilihan dalam berdepan dengan situasi-situasi tertentu, malah kita juga perlu akur bahawa tanpa kestabilan kesihatan awam, percambahan ekonomi adalah tidak dapat dicapai serta terjamin.

Kita mampu menang. Patuhi SOP dan amalkan amalan 4P demi orang tersayang serta komuniti kita. Penang Lawan COVID-19!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown pada hari Selasa, 12 Januari 2021