Dasar yang berubah-ubah, amalan antara dua darjat dan ketidakcekapan Kerajaan Persekutuan PN menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan nyawa dan mata pencarian kita dalam pertempuran melawan COVID-19

DAP meluahkan rasa terkejut dengan permintaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat yang akan dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos, sedangkan PKP yang diumumkan oleh beliau semalam hanya untuk 14 hari hingga 26 Januari. Jurang yang jelas ini menimbulkan curiga yang mendalam apakah Muhyiddin hanya didorong oleh pertimbangan kesihatan awam untuk memerangi COVID-19?

Mengapa perlunya PKP semalam dengan Perisytiharan Darurat hari ini. Ini telah menimbulkan kekeliruan mengenai pengurusan dan pentadbiran yang lemah oleh kerajaan PN. Lebih-lebih lagi alasan yang diberikan oleh Muhyiddin untuk perintah darurat adalah menangani tuntutan pilihan raya awal. Hanya UMNO yang membuat tuntutan ini. Semua parti politik lain termasuk pembangkang PH dan DAP menentang tuntutan untuk pilihan raya awal. Oleh itu, alasan ini tidak masuk akal apabila UMNO hanya memegang 39 daripada 222 kerusi di Parlimen.

Pengisytiharan darurat dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah lonjakan jangkitan dan kematian COVID-19 baru-baru ini, menunjukkan bahawa kerajaan PN yang sebelum ini mengambil kredit terlalu awal tahun lalu kerana berjaya membendung COVID-19, dengan Menteri Kanan Azmin Ali membuat dakwaan tidak masuk akal bahawa kerajaan PN telah menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada PH. Masanya telah tiba untuk PN mengambil tanggungjawab atas kegagalan mereka supaya mereka dapat mengatasi kekurangan mereka untuk memenangi pertempuran kritikal melawan COVID-19 kali ini.

Dasar yang berubah-ubah, amalan antara dua darjat dan ketidakcekapan oleh Kerajaan Persekutuan PN menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan nyawa dan mata pencarian kita dalam pertempuran menentang COVID-19. Politik yang tidak berkesudahan untuk terus kekal berkuasa berikutan kehilangan majoriti parlimen oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan kerajaan PN gagal memberi tumpuan kepada tugas mereka.

Muhyiddin masih tidak mengambil pengajaran daripada pusingan PKP dan PKP Bersyarat sebelumnya yang dilaksanakan pada bulan Mac dan November tahun lalu, untuk menyediakan dan menyalurkan dana yang sangat diperlukan. Kita dapat menyelamatkan nyawa dengan menggunakan dana COVID RM17 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 (dikurangkan daripada RM38 bilion pada tahun 2020) untuk membantu wira barisan hadapan negara dengan melabur dalam kerja-kerja saringan, pengesanan dan rawatan (3T) yang komprehensif untuk meningkatkan sistem penyampaian kesihatan.

Kita dapat mencipta sumber pertumbuhan baru ekonomi dan memperlahankan pemberhentian pekerja, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan menyelamatkan mata pencarian ekonomi rakyat dengan menyediakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion. Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion ini merangkumi:

Kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur.

Pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20% Teratas, sehingga tarikh akhir Perisytiharan Darurat pada 1 Ogos yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.

Insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun, di bawah MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil pekerja tempatan yang dapat mewujudkan pekerjaan bagi 600,000 pekerja Malaysia. Kadar pengangguran meningkat daripada 4.7% kepada 4.8% pada bulan November 2020 ketika PKP Bersyarat dan Pemulihan dilaksanakan.

Mendigitalkan pendidikan termasuk membeli komputer riba untuk menyediakan pembelajaran atas talian bagi pelajar yang tidak dapat bersekolah, di mana pelajar hanya menghadiri 4 bulan persekolahan tahun lalu.

Geran kewangan berjumlah RM10 bilion harus diberikan untuk menyediakan talian hayat kepada perniagaan baru dan sedia ada, pinjaman dan pemberian kredit, terutama untuk industri kecil dan sederhana dan industri pelancongan yang lumpuh. Industri pelancongan kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu dan tanpa “sokongan hidup” daripada kerajaan, menghadapi masa depan yang suram.

Selanjutnya, amalan antara dua darjat dan ketidakcekapan harus dihentikan. Contohya seperti kes kegagalan mematuhi protokol kesihatan COVID-19 oleh seorang Menteri, Mohd Khairuddin bin Aman Razali, yang hanya dikompaun RM1,000 tanpa didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah kuarantin, berbanding wanita Melayu berusia 72 tahun yang didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari.

Ketidakmampuan PN jelas terserlah bukan hanya sekadar kegagalan mereka untuk mengeluarkan SOP untuk PKP walaupun mereka mempunyai 4 hari untuk melakukan persiapan. Lebih buruk lagi adalah kelewatan penghantaran vaksin selama dua bulan. Pada ketika Singapura telah menerima penghantaran vaksin, Menteri Kesihatan kita baru saja menandatangani perjanjian untuk membeli vaksin tersebut.

Alasan bahawa Malaysia tidak mempunyai RM2.1 bilion untuk membeli vaksin tidak boleh diterima kerana ia tidak benar. Sekiranya berlaku krisis kecemasan seperti ini, bukan sekadar RM2.1 bilion malah RM5 bilion dapat disediakan. Berapa banyak lagi nyawa yang akan terkorban sia-sia kerana kegagalan kabinet PN ini?

Adakah prestasi kerajaan PN akan bertambah baik dengan Pengistiharan Darurat? Ini tidak mungkin dengan penggantungan Parlimen, ketika tidak ada lagi kekangan terhadap penyalahgunaan kuasa, penegakan akauntabiliti dan ketelusan, tanpa pengawasan parlimen atau semak dan imbang yang diberikan oleh pembangkang.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 12 Januari 2021