MOE harus kaji untuk tangguhkan SPM berdasarkan prestasi peperiksaan percubaan

Selain daripada impak ekonomi yang melandai negara kita disebabkan oleh penularan wabak Covid-19, pembelajaran pelajar terutamanya mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 turut terjejas.

Oleh itu, saya ingin mengesyorkan Kementerian Pendidikan agar mengumpul data prestasi peperiksaan percubaan SPM bagi setiap sekolah untuk menilai tahap akademik pelajar sebenar.

Prestasi peperiksaan percubaan SPM boleh menjadi penunjuk atau indikator yang penting bagi Kementerian Pendidikan dalam membuat sebarang keputusan, samada untuk menangguhkan SPM demi memastikan bahawa pelajar tingkatan lima tahun 2020 tidak akan terkorban disebabkan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim pada 10 November 2020, sebanyak 2004 sekolah atau 85 peratus sekolah di seluruh negara telah mengadakan peperiksaan percubaan SPM, manakala terdapat 346 sekolah belum menjalankan perperiksaan percubaan SPM, terutamanya sekolah-sekolah yang terletak di negeri seperti Sabah dan Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sekolah-sekolah tersebut hanya boleh menjalankan peperiksaan percubaan selepas sekolah dibuka bermula 20 Januari tahun ini.

Walaupun Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa semua sekolah telah menghabiskan silibus tingkatan lima, kita tahu bahawa kebanyakan sekolah telah menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian (online) atas faktor keselamatan dan kesihatan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Tentulah persekitaran pembelajaran di rumah berbeza dengan persekitaran di sekolah, manakala pembelajaran secara online hanya merupakan alat yang membantu proses pembelajaran dan tidak mungkin dapat menggantikan pembelajaran di sekolah dengan sepenuhnya.

Jika kita lihat kawasan di mana kemudahan internet tidak memuaskan, prestasi pembelajaran pelajar adalah amat terjejas manakala sesetengah ibu bapa juga tidak mampu untuk menampung kos internet.

Berdasarkan Kementerian Pendidikan, tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dipinda kepada 22 Februari 2021 hingga 25 Mac 2020.

Hasil daripada pembaharuan sistem peperiksaan dilaksanakan, SPM kini merupakan peperiksaan yang terpenting setelah pelajar menerima pendidikan asas selama 11 tahun dan ia akan menentukan masa depan mereka.

Oleh sedemikian, Kementerian Pendidikan harus mengumpul data prestasi peperiksaan percubaan SPM untuk mengkaji sama ada tahap akademik pelajar pada masa sekarang adalah mencukupi untuk menghadapi SPM.

Kementerian Pendidikan boleh mengkaji sama ada perlu menangguhkan SPM berdasarkan prestasi pelajar sebenar agar pelajar tidak terkorban disebabkan wabak Covid-19 atau No-One-Left-Behind.

Tambahan, adakah perlunya kita tergesa-gesa menganjurkan peperiksaan SPM sedangkan kerajaan mengendalikan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang baru untuk memerangi wabak Covid-19 yang makin serius?

Kementerian Pendidikan harus mengutamakan aspek kesihatan, keselamatan dan persediaan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Chiong Yoke Kong
NAIB PENGERUSI DAPSY KEBANGSAAN & ADUN TANAH RATA
Kenyataan media oleh Chiong Yoke Kong di Cameron Highlands pada hari Selasa, 12 Januari 2021