Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri ini

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri ini (Penang State Riparian Water Right’s) dan bersedia berjumpa dengan Menteri Besar Kedah di mahkamah sekiranya pihak tersebut ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap isu caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini.

Sungai Muda bukan milik eksklusif Kedah, sebaliknya, sebahagian daripada sungai tersebut merupakan ‘milik’ Pulau Pinang. Justeru, Menteri Besar Kedah tidak mempunyai asas untuk menuntut pembayaran daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.

Malah, fakta jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang berhak untuk mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah yang mana Sungai Muda adalah sungai yang mengalir melalui Kedah dan Pulau Pinang.

Sebagai tambahan, fakta bahawa Sungai Muda mengalir melalui Pulau Pinang didokumentasikan dalam Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) dan termaktub sebagai Akta dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan. Enakmen negeri yang diluluskan oleh Kedah dan Pulau Pinang pada tahun 1985 juga meletakkan sempadan negeri-negeri di sepanjang bahagian tengah garis sungai.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown pada hari Rabu, 13 Januari 2021