Penggantungan Parlimen perlu dibatalkan untuk mendesak Kerajaan PN menawarkan langkah-langkah kewangan segera disertakan bersama PKP demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan semua legitimasi politik dan moral untuk mewakili rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri berikutan penarikan sokongan tiga ahli parlimen UMNO sehingga hilang majoriti parlimennya. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertindak pantas dengan mengisytiharkan Darurat pada hari Selasa untuk menggantung Parlimen dan kesemua Dewan Undangan Negeri, dengan menggunakan dalih lonjakan jangkitan COVID-19.

Darurat seluruh negara tidak diperlukan untuk menghentikan pilihan raya kecil, yang telah ditunda melalui pengisytiharan darurat di kawasan berkenaan. Bagi pilihan raya umum Parlimen atau pilihan raya negeri Sarawak, masih ada masa kerana tempoh penggal bagi Parlimen dan DUN Sarawak masing-masing berakhir pada tahun 2023 dan 5 Jun 2021.

Ironinya, kegagalan dan salah urus Kerajaan Muhyiddin dalam isu COVID-19 telah memberi beliau peluang untuk bergantung pada perintah darurat untuk terus berkuasa dengan menggantung Parlimen. Muhyiddin baru sahaja mengumumkan pada hari Isnin pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang lebih dari cukup untuk menangani jangkitan COVID-19 yang meningkat.

Seterusnya, kegagalan Perikatan Nasional (PN) untuk mengumumkan langkah-langkah kewangan segera untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia yang disertakan bersama pengisytiharan perintah darurat membuktikan bahawa Muhyiddin tidak fokus untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat. Kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1% kepada 4.8% pada bulan November 2020 sebagai hasil daripada PKP bersyarat dan pemulihan yang dilaksanakan ketika itu.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan kumpulan majikan telah memberi amaran terhadap lebih banyak penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja untuk pusingan terbaru PKP dan Darurat. Industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu, memerlukan “sokongan hidup” kewangan segera.

Namun, bukan sahaja tidak ada bantuan kewangan yang diberikan, malah moratorium automatik pinjaman bank yang dijanjikan (kecuali golongan Top 20), pengeluaran sendiri caruman KWSP dan kenaikan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur untuk tempoh krisis COVID-19 juga masih belum dipenuhi.

Antara pilihan nyawa dan mata pencarian, kerajaan juga masih lemah dalam pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan (test, trace, treat, 3T) secara menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa. Walaupun Dana COVID-19 dikurangkan daripada RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion, RM 17 bilion masih merupakan jumlah yang boleh digunakan untuk meningkatkan sistem penyampaian kesihatan kita berdasarkan 3T.

Malangnya, dana tersebut nampaknya tidak dapat disediakan bagi menyokong wira barisan hadapan kita sama ada untuk mengambil lebih ramai pekerja kesihatan atau membeli vaksin. Pada ketika Singapura telah menerima penghantaran dan memulakan vaksinasi besar-besaran, para Menteri kita baru menandatangani kontrak untuk membeli vaksin ini. Kelewatan dua bulan dalam penghantaran vaksin ini bermaksud bahawa lebih banyak nyawa akan terkorban dengan sia-sia.

Masanya sudah tiba untuk para Menteri bangun daripada tidur dan bekerja keras untuk melakukan tugas mereka dengan betul. Rakyat Malaysia mahu kerajaan memberi tumpuan untuk menyelamatkan mata pencarian dan nyawa bukan pada survival politik atau jawatan politik mereka sendiri.

Bagaimana Pengistiharan Darurat dapat mengatasi kelemahan yang nyata daripada kerajaan PN apabila Parlimen ditangguhkan?Bagaimana masalah dalam salah urus, penyalahgunaan kuasa dan penderitaan rakyat dapat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen tanpa mesyuarat parlimen? Bagaimana kegagalan Menteri dalam menjalankan tugas mereka dengan baik dapat diserlahkan?

Atas sebab ini, penggantungan Parlimen dan DUN harus dibatalkan bagi membenarkan para ahli parlimen untuk membangkitkan dan mendesak kerajaan PN untuk menawarkan langkah-langkah kewangan segera yang disertakan bersama PKP demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian. Sekiranya cabang Eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan dapat berfungsi dengan normal, mengapa tidak cabang Perundangan yang merupakan peringkat tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

DAP kesal bahawa Speaker Dewan Rakyat Azhar bin Harun gagal mempertahankan kedudukan tinggi Parlimen dengan menyokong Darurat oleh Muhyiddin yang menggantung Parlimen. Sokongan Azhar terhadap penggantungan Parlimen, menimbulkan persoalan apakah gunanya ada seorang Speaker Parlimen.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 13 Januari 2021