Pendekatan alternatif melawan COVID-19

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Sebentar tadi, saya telah menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri secara sidang video.

Saya telah mengutarakan beberapa pendekatan alternatif dengan memanfaatkan ruang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat yang dilaksanakan Kerajaan kini. Antaranya:-

  1. Mengkaji semula pendekatan bagi mencapai matlamat meratakan lengkung jangkitan atau ‘flattening the curve’ selain yang digunakan selama ini iaitu kewajaran meneliti serta memperhebatkan pelaksanaan pendekatan 3T iaitu testing (saringan) besar-besaran, tracing (mengenal pasti) dan treating (merawat);
  2. Mengguna pakai teknologi dengan sebaiknya untuk mencari kaedah baru bagi mengawal situasi semasa iaitu pendekatan ‘Big Data Analytic’ bagi menilai sama ada langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan dalam menangani COVID-19 sebelum ini mencapai sasaran atau sebaliknya. Contohnya, gabungan aplikasi MySejahtera dengan platform-platform tertentu termasuk perkongsian statistik harian bagi memantau trend R-naught di setiap negeri;
  3. Pengisytiharan darurat secara tidak langsung memberi kuasa kepada Kerajaan untuk menggunakan pendekatan ‘whole society approach’ iaitu turut menggunakan sumber-sumber daripada pihak swasta.
    • Contohnya, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang telah menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan massa atau mass screening dalam kalangan pekerja mereka, malah kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) juga bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin COVID-19 bagi mempercepatkan proses berkaitan di negeri ini;
    • Berasaskan situasi ini, adalah wajar Kerajaan memudahcarakan proses permohonan serta kelulusan daripada pihak-pihak swasta tersebut dan sebuah task force perlu ditubuhkan bagi meneliti isu-isu berbangkit.
  4. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyatakan persetujuan bahawa perhatian segera akan diberikan berhubung permohonan serta cadangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di (a) Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan dan (b) Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, Daerah Timur Laut dengan permohonan peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.
Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media (2) oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown pada hari Rabu, 13 Januari 2021