Perutusan Sambutan Ponggol oleh Ketua Menteri Pulau Pinang

Hari ini seluruh masyarakat Tamil meraikan perayaan Hari Ponggal. Sinonim dengan permulaan baru dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai bulan ‘Thai’, ketibaan perayaan ini sememangnya sangat dinanti-nantikan sebagai satu permulaan dan pengharapan baharu untuk suatu perjalanan yang lebih baik sepanjang tahun.

Meskipun Pulau Pinang kini menjadi antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perayaan Hari Ponggal tetap boleh diraikan dalam suasana normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Sebaik-baik susu yang mendidih melimpah daripada periuk tanah, begitu jugalah yang diharapkan untuk rakyat di negeri ini yang terus mendokong Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan prinsip penyampaian perkhidmatan yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus kepada rakyat. Prinsip yang dipegang sejak lebih sedekad lalu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini. Malah, sebagai sebuah negeri berkebajikan, semua program bantuan iSejahtera diteruskan dengan peruntukan RM50 juta bagi tahun ini. Begitu juga dengan peruntukan RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang bagi meneruskan kesinambungan pembangunan komuniti India di sini.

Di sebalik musibah COVID-19 ini, saya bersyukur kerana Pulau Pinang masih lagi aman makmur serta rakyat yang hidup dalam suasana harmoni. Umpama ‘Thai piranthal vazhi pirakkum’ yang bermaksud permulaan bulan baru yang membawa kebahagiaan, marilah kita sama-sama meningkatkan iltizam dengan mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan dalam kalangan kita supaya kemanisannya dapat dinikmati bersama.

Ponggal Nal Valthukal.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Sambutan Ponggol oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown pada hari Khamis, 14 Januari 2021