Lima kontradiksi PKP 2.0 dan Darurat

Kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh setahun ini melawan wabak Covid-19 serta melindungi ekonomi Malaysia amat terserlah.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan Darurat baru-baru ini terus membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional tidak serius dalam usaha melawan Covid-19 dan lebih berminat untuk bermain politik.

Terdapat lima kontradiksi ataupun percanggahan utama dalam pelaksanaan PKP 2.0 dan Darurat.

1) PKP 2.0 dilaksanakan, tapi jauh lebih longgar berbanding PKP 1.0

Di bawah PKP 2.0, kebanyakan sektor dibenarkan untuk beroperasi. Malah sukan dibenarkan walaupun pada tahap minimum. Pejabat kerajaan dan sekolah juga dibenarkan, termasuk tadika dan sebagainya.

Bagaimana kerajaan hendak mencapai keberkesanan PKP 1.0 jika SOP yang dikenakan kini jauh lebih longgar?

Contohnya, dalam PKP 2.0, kebanyakan sektor ekonomi termasuk kilang-kilang tetap dibenarkan untuk terus beroperasi, sedangkan beberapa kluster besar melibatkan tempat kerja seperti kilang telah menyebabkan penularan Covid-19 ke dalam komuniti secara meluas.

Apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui PKP 2.0?

2) Darurat diisytiharkan, tapi PKP tidak dilaksanakan secara maksimum

Perdana Menteri menyatakan bahawa melalui Darurat, Kerajaan boleh mewujudkan Ordinan supaya tugas Kerajaan untuk membendung wabak dapat dijalankan.

Soalannya ialah, apakah dengan undang-undang sedia ada termasuk PKP, menghalang kerajaan daripada menjalankan tugas melawan wabak?

Dan yang lebih pelik lagi ialah, jika PKP 2.0 pun jauh lebih longgar berbanding PKP 1.0, apa keperluannya untuk melaksanakan Darurat seluruh negara?

3) Darurat untuk elak PRU, tapi majoriti Ahli Parlimen tidak mahu PRU

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa pengistiharan Darurat adalah untuk mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ketika negara sedang mengharungi pandemik Covid-19.

Namun, jelas bahawa semua parti dan wakil rakyat pembangkang, terutamanya Pakatan Harapan, sejak tahun lepas lagi telah menegaskan agar kerajaan tidak melaksanakan PRU jika wabak belum berjaya dibendung.

Setakat ini, nampaknya hanya UMNO sahaja yang menuntut PRU diadakan secepat mungkin. Itupun bukan semua Ahli Parlimen UMNO yang bersetuju kerana sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang diberi jawatan oleh Perdana Menteri lebih cenderung menyokong pendirian Perdana Menteri untuk tidak mengadakan PRU buat masa ini.

Jadi, siapa yang mahukan PRU? Jawapannya hanya segelintir sahaja Ahli Parlimen berbanding majoriti besar Ahli Parlimen yang lain.

Malah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU terletak di bawah keputusan Perdana Menteri sendiri dan bukan pada Ahli Parlimen atau mana-mana parti politik.

4) Darurat gantung fungsi Legislatif, tapi Eksekutif dan Kehakiman dibenarkan

Darurat yang dilaksanakan menggantung fungsi dan peranan Parlimen sebagai badan Legislatif, yakni penggubal undang-undang negara. Namun badan Eksekutif dan Kehakiman tetap dibenarkan untuk terus berfungsi.

Ini jelas satu tindakan yang mementingkan diri untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri apabila sudah kehilangan sokongan Ahli Parlimen. Perdana Menteri khuatir jika Parlimen dibenarkan bersidang, kehilangan sokongan terhadap beliau akan didedahkan.

Daripada mengembleng dan menyatupadukan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk usaha melawan Covid-19, Perdana Menteri begitu taksub bermain politik dan mengorak strategi untuk kekal berkuasa.

Justeru, terang lagi bersuluh, Darurat dilaksanakan dengan hanya satu tujuan sahaja, iaitu untuk melindungi jawatan Perdana Menteri.

5) Jika Darurat bertujuan untuk melindungi Perdana Menteri, maka adakah kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meratakan lengkung pandemik?

Dengan PKP 2.0 yang jauh lebih longgar, dan tanpa strategi jelas untuk memperkasakan sistem penjagaan kesihatan awam bagi memastikan kerja-kerja penyaringan, pengesanan, dan perawatan (testing, tracing, treating, 3T) Covid-19 berjalan lancar, Rakyat khuatir kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha melawan Covid-19.

Ini dilihat sebagai bagi mewujudkan keadaan krisis untuk terus mengekalkan Darurat demi melindungi jawatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri harus segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi Covid-19 dan bukan menggantung Parlimen

Perdana Menteri harus segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi wabak Covid-19 yang semakin meruncing.

Ahli-ahli Parlimen telah sebulat suara menyokong dua Rang Undang-Undang Covid-19 pada sidang tahun lepas, malah barisan pembangkang telah menggesa kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukkan bagi melawan Covid-19. Beberapa langkah membantu rakyat seperti pelanjutan moratorium pinjaman bank, moratorium PTPTN, pengeluaran KWSP dan sebagainya telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen kedua-dua belah semasa sidang Parlimen.

Justeru, Perdana Menteri tidak perlu bimbang bahawa kami sebagai wakil rakyat akan menggugat atau merosakkan sebarang usaha melindungi rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19.

Steven Sim Chee Keong
MP for Bukit Mertajam
Kenyataan media oleh Steven Sim Chee Keong di Bukit Mertajam pada hari Khamis, 14 Januari 2021