Perintah darurat membolehkan kontrak kerajaan diberikan secara terus tanpa tender terbuka dan tanpa akauntabiliti daripada Parlimen yang digantung

Yang di-Pertuan Agong dalam titah diraja pengisytiharan darurat sama sekali tidak menyebut tentang menggantung Parlimen dan DUN. Bahkan titah diraja yang menyebut bahawa Darurat boleh berakhir lebih awal sebelum 1 Ogos, tidak disebut dalam Pengistiharan Darurat yang ditandatangani oleh Muhyiddin. Adakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertindak melebihi batas kuasanya?

Dengan menggantung dan membungkam Parlimen, Muhyiddin tidak lagi takut bahawa dia sudah kehilangan majoriti Parlimennya, dengan hanya 109 daripada 220 Ahli Parlimen yang menyokong pentadbirannya. Lebih teruk lagi, perintah darurat membolehkannya meluluskan apa sahaja undang-undang yang beliau suka tanpa melalui Parlimen, atau bahkan menangkap sesiapa sahaja yang tidak disukainya.

Sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah terbukti memadai untuk menangani lonjakan jangkitan Covid-19. Bagaimana pula dengan menggantung Parlimen dan memberikan Muhyiddin kuasa darurat boleh membantu untuk menang dalam perang terhadap Covid-19? Hakikatnya, tiada apa-apa langkah tambahan di bawah kuasa Darurat yang tidak diperuntukkan di bawah perundangan sedia ada mahupun PKP.

Malah kontrak perolehan kerajaan yang besar juga dapat diberikan melalui tender rundingan terus tanpa mengamalkan tender terbuka. Tender secara terus atau rundingan terus telah disebut sebagai penyebab utama amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Transparency International. Parlimen yang digantung dan dibungkam tidak lagi dapat menuntut akauntabiliti tentang pemberian kontrak tanpa tender terbuka daripada kerajaan yang tidak dipilih ini.

PN Tidak Harus Memburukkan Lagi Keengganan Mereka Untuk Menawarkan Bantuan Kewangan Dengan Memaksa Penutupan Perniagaan Dengan Melarang Perniagaan Yang Bebas COVID-19 Daripada Beroperasi.

Tambahan kepada Parlimen yang dibungkam, bagaimana rungutan rakyat, terutama dari Perusahaan Kecil Sederhana yang terkesan akibat sekatan dapat ditangani. Saya telah menerima banyak aduan tentang kesukaran perniagaan untuk mendapatkan kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh sekatan kerana mereka tidak dianggap sebagai perkhidmatan perlu.

Walaupun saya setuju bahawa sektor pembinaan adalah perkhidmatan perlu yang harus terus beroperasi, terdapat banyak kes COVID-19 di kalangan pekerja di sektor pembinaan. Namun, terdapat banyak perniagaan lain yang mempunyai sedikit atau bahkan tidak ada kes COVID-19, tetapi masih tidak dibenarkan beroperasi hanya kerana mereka tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu.

Apakah logik di sebalik melarang perniagaan yang tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu dan bebas daripada COVID-19 daripada beroperasi, berbanding industri perkhidmatan perlu yang mencatatkan sebilangan besar kes COVID-19? Walaupun kita komited untuk menyelamatkan nyawa, ini tidak seharusnya dengan mengorbankan perniagaan yang mematuhi protokol standard kesihatan dan merekodkan hanya sedikit kes COVID-19.

Oleh kerana kerajaan enggan menawarkan bantuan kewangan atau pakej rangsangan ekonomi baru, perniagaan kecil sudah menderita dan tidak patut dilarang beroperasi, jika mereka merekodkan hanya sedikit kes COVID. Jika tidak, kerajaan harus bertanggungjawab kerana menyebabkan lebih banyak penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 14 Januari 2021