Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1.

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua barisan hadapan yang bekerja keras melindungi kita sejak tahun lalu sehinggalah ke saat ini. Kita kini berada di gelombang ketiga dalam menempuhi pandemik COVID-19, justeru segala data, fakta saintifik dan tindakan yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kepentingannya.

Pulau Pinang merupakan negeri berdensiti padat. Kelima-lima daerah di negeri ini masih berada dalam zon merah dan saringan massa adalah amat perlu dijalankan secara menyeluruh membabitkan warganegara dan juga bukan warganegara bagi memastikan kita betul-betul memutuskan rantaian perebakan wabak ini. Kita perlu terus bersama-sama dalam menempuhi pertempuran getir ini.

Tiada yang dipinggirkan. Kerajaan Negeri pada 21 Januari lalu telah memperincikan lima (5) kumpulan sasaran penerima pertama Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 berjumlah RM10 juta daripada jumlah keseluruhan RM20 juta yang diperuntukkan. Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK/Exco) yang bersidang pada 17 Februari lalu telah memutuskan sebahagian lagi bantuan kepada 19 golongan serta institusi paling terkesan meliputi kepelbagaian sektor dengan implikasi kewangan RM8.41 juta di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1.

Umumnya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pembukaan semula ekonomi tidak bermaksud ekonomi akan pulih seperti sediakala. Justeru, sumbangan bantuan menumpukan golongan paling terkesan ini adalah bagi meneruskan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri Pulau Pinang dengan mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula, meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti. Malah, pada masa sama adalah bagi membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri ini dengan memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kata mudah, kelima-lima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diwujudkan sehingga kini adalah bertujuan untuk meletakkan wang ringgit ke tangan golongan terkesan, ke pasaran dan ke industri tersasar. Perincian bagi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 adalah seperti berikut:-

  1. Geran pensijilan halal berjumlah RM320 kepada usahawan mikro baharu dan sedia ada melalui Penang Halal International.
  2. > Anggaran 900 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM288,000;

  3. Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 secara one-off kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang berdaftar dengan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) Pulau Pinang bagi membantu pihak berkaitan membiayai sebahagian kos pendigitalan operasi dalam usaha meningkatkan penyertaan dalam perkhidmatan Perniagaan ke Perniagaan (business-to-business, B2B) marketplace.
  4. > Anggaran 1,000 penerima dengan implikasi kewangan RM1 juta;

  5. BKK RM500 secara one-off kepada pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
  6. > Anggaran 194 penerima, implikasi kewangan berjumlah RM97,000;

  7. BKK RM500 secara one-off kepada pengendali perkhidmatan spa bergerak (mobile spa).
  8. > Membabitkan anggaran 63 penerima dengan peruntukan berjumlah RM31,500;

  9. Insentif makanan ternakan bagi penternak tradisional untuk komoditi unggas, ruminan dan khinzir di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri.
  10. > Anggaran 1,088 penerima bakal menerima manfaat dengan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM574,424;

  11. BKK RM500 secara one-off kepada pemandu bas/van persiaran, kereta sewa/limosin pelancongan.
  12. > Membabitkan anggaran 351 penerima dengan implikasi kewangan RM175,500;

  13. BKK RM500 secara one-off kepada pemandu pelancong berdaftar.
  14. > Anggaran 1,367 penerima dengan jumlah RM683,500;

  15. BKK RM500 secara one-off kepada pengusaha lancang air (watercraft operator) di Pulau Pinang.
  16. > Anggaran seramai 23 penerima bakal menerima manfaat berkaitan dengan jumlah RM11,500;

  17. BKK RM500 secara one-off kepada pengusaha kuda rekreasi Pulau Pinang.
  18. > Membabitkan anggaran sembilan (9) penerima dengan jumlah RM4,500;

  19. BKK RM500 secara one-off kepada pengusaha kantin dan kafeteria di institusi pengajian tinggi (IPT) awam/swasta/kolej/institut latihan.
  20. > Anggaran 500 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM250,000;

  21. Bantuan peralatan kesihatan dan penyediaan kelengkapan Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pulau Pinang.
  22. > Implikasi kewangan berjumlah RM2 juta;

  23. BKK RM5,000 secara one-off kepada pusat jagaan kanak-kanak/warga emas/orang kurang upaya (OKU)/perlindungan wanita di Pulau Pinang.
  24. > Anggaran 104 pusat berkaitan dengan jumlah RM520,000;

  25. BKK RM1,000 secara one-off kepada operator lokasi-lokasi pelancongan.
  26. > Anggaran 60 penerima dengan jumlah RM60,000;

  27. BKK RM1,000 secara one-off kepada kuil-kuil berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
  28. > Anggaran 83 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM83,000;

  29. BKK RM1,000 secara one-off kepada Rumah Ibadat Bukan Islam berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
  30. > Membabitkan anggaran 539 penerima dengan jumlah RM539,000;

  31. BKK RM1,000 secara one-off kepada surau berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
  32. > Anggaran 600 penerima dengan jumlah RM600,000;

  33. BKK RM500 secara one-off kepada guru-guru sekolah agama rakyat berdaftar di bawah JHEAIPP.
  34. > Membabitkan anggaran 935 penerima dengan jumlah RM467,500;

  35. BKK RM500 secara one-off kepada Pemegang Tauliah Mengajar berdaftar dan diperakukan oleh JHEAIPP.
  36. > Anggaran 55 penerima dengan jumlah RM27,500;

  37. Program kerjasama pintar dengan penyedia platform marketplace digital commerce.
  38. > Anggaran 15,000 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM1 juta;

Umumnya, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 adalah melibatkan implikasi kewangan bernilai RM8,412,924 dengan 22,871 penerima. Sila rujuk maklumat lanjut di laman web rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, penang.gov.my.

Secara keseluruhan, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 merupakan usaha pemberdayaan bukan hanya kepada sektor pelancongan, malah juga terhadap pembangunan platform pendigitalan keusahawanan yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negeri Pulau Pinang dengan tidak mengabaikan kepentingan agama, sosial kemasyarakatan, agroteknologi sebagai jaminan keselamatan rantaian makanan, kepentingan sukan dan kesihatan awam secara menyeluruh.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Jumaat, 19 Februari 2021