Penubuhan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang

Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah beroperasi secara rasminya pada 01 Januari 2021 melalui pewartaan tarikh kuat kuasa Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang 2010 [Warta No. 580] yang bertarikh 30 Julai 2020.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan pelantikan sembilan (9) orang Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang terdiri daripada:

  1. Ketua Menteri Pulau Pinang selaku Pengerusi LPNPP;
  2. YB Exco Perumahan;
  3. YB Setiausaha Kerajaan Negeri;
  4. YB Penasihat Undang-undang;
  5. YB Pegawai Kewangan Negeri;
  6. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
  7. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perumahan Negara;
  8. Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC); dan
  9. Mantan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang.

HALATUJU PENUBUHAN LPNPP

Secara dasarnya, penubuhan LPNPP adalah berdasarkan kepada Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang 2010. Selaras dengan Seksyen 42 (1) Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang 2010, tujuan penubuhan LPNPP ini adalah bagi memacu pembangunan serta melestarikan pemajuan perumahan, khususnya pembangunan rumah mampu milik dan pembangunan semula bandar di seluruh negeri Pulau Pinang. Pada ketika ini, sebanyak 113,960 unit rumah mampu milik
telah dikenalpasti dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
 
Dalam pada itu, segala bidang kuasa yang sedang dijalankan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan turut diteruskan oleh LPNPP, termasuklah segala penawaran rumah-rumah mampu milik, rumah sewa-beli, Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN)/Program Perumahan Rakyat (PPR) dan juga pengurusan serta penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak.
 

PERMOHONAN KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sejumlah RM262,884,706.66 ke atas penyelenggaraan di Perumahan Awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan perumahan swasta yang layak. Walau bagaimanapun, sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2021, sejumlah RM1.2 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan perumahan selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM125 juta telah diperuntukkan bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah.

Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan bantuan peruntukan ini agar Pulau Pinang dapat mempertimbangkan permohonan ke atas penyaluran peruntukan bagi tahun 2021 di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) untuk penyelenggaraan di Perumahan Awam Kos Rendah sebanyak RM21,110,000.00 dan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk penyelenggaraan di perumahan swasta yang layak sebanyak RM65,830,100.00. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga berharap supaya lebih banyak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dibina di Pulau Pinang bagi menampung keperluan masa kini. Pada masa ini, hanya terdapat 999 unit di empat (4) lokasi PPR di

seluruh negeri Pulau Pinang. Jumlah ini hanyalah picisan 0.87% daripada keseluruhan 114,652 unit di seluruh negara. Sepertimana yang kita ketahui, rumah sewa merupakan alternatif terbaik kepada golongan berpendapatan rendah sebelum mampu memiliki kediaman sendiri. Kerajaan Negeri pada tahun 2019 telah pun mengemukakan cadangan tapak dengan berkeluasan 72.3 ekar bagi maksud penyediaan PPR di Pulau Pinang.

Sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan 14,000 unit PPR dalam Belanjawan 2021. Kerajaan Negeri memohon agar Kerajaan Persekutuan melalui KPKT dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan tapak dari Kerajaan Negeri bagi tujuan dan maksud ini.
 
HARAPAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Kerajaan Negeri berharap agar LPNPP sebagai penggerak kepada dasar-dasar perumahan mampu milik negeri Pulau Pinang dapat terus bergerak maju ke hadapan dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik mencukupi dan sasaran Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara di bawah Tema A1 Penang2030 iaitu Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan (Addressing Housing Affordability and Diversity) dapat direalisasikan dengan jayanya.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang & Pengerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang
Kenyataan sidang media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Geroge Town pada hari Jumaat, 19 Februari 2021