Penghargaan kepada bapa saya Lim Kit Siang sempena ulang tahun ke-80 beliau pada 20 Februari 2021

Sebuah Malaysia Lebih Baik

Mengenang kembali kisah hidup bapa saya pada hari ulang tahunnya yang ke-80 bukanlah tugas yang mudah dan mungkin paling baik diserahkan kepada sejarahwan yang menggunakan perspektif yang tegas dan padu. Walau bagaimanapun, sambutan besar keluarga ini tidak dapat diraikan tanpa merujuk kepada usaha, kehidupan keluarga dan falsafah peribadi beliau.

Memori terawal saya tentang beliau adalah rasa kagum terhadap pencapaiannya yang luar biasa, dan rasa khuatir bahawa saya tidak dapat memenuhi harapannya serta beban tanggungjawab yang dipikul sebagai anak sulung seorang tokoh yang disegani. Nenek kami menceritakan kepada saya dan adik-beradik tentang kehebatan akademiknya di sekolah, di mana beliau ialah salah seorang pelajar terbaik di negeri Johor.

Kami melihat sendiri bukan hanya kecerdasan beliau yang tajam, malah kemampuan beliau untuk belajar sendiri untuk menguasai trengkas Pitman, penaipan tangkas dan penguasaan bahasa termasuk tulisan Jawi. Siapa yang boleh melupakan bunyi ketikan mesin taip seakan senapang mesin hingga larut malam yang mencurah keluar kenyataan akhbar dan ucapan? Dan tentu saja, bagaimana beliau memperoleh ijazah undang-undang dengan keputusan cemerlang ketika berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Nenek saya secara lumrahnya memanjakan anak bongsunya yang matang lebih awal itu. Beliau seorang wanita yang luar biasa, seorang buta huruf yang mengajar dirinya sendiri membaca. Bapa saya adalah anak kesayangannya kerana dia mempunyai hati yang melawan seperti dia, enggan tunduk ditekan oleh keadaan.

Beliau tidak membenarkan kekangan kemiskinan menghalang daripada memperbaiki dirinya sendiri. Berkahwin awal, beliau asalnya menceburkan diri sebagai guru dan kemudian sebagai wartawan Straits Times di Singapura. Beliau adalah Setiausaha Agung termuda Kesatuan Nasional Wartawan Singapura pada usia 22 tahun. Di samping menampung keluarganya, beliau ingin memberi sumbangan menjadikan Malaysia lebih baik untuk rakyat biasa.

Walaupun sudah selesa di Singapura, beliau memilih untuk kembali ke Malaysia setelah Pemisahan 1965 untuk memenuhi hasrat tersebut. Kesungguhan dan keyakinan beliau sangat mudah merebak. Karisma dan keberaniannya menjadikan beliau seorang pemimpin semula jadi. Kehebatan berpidato dan sentuhan marhaen beliau menarik orang kepadanya.

Debat Agung Ekonomi di Universiti Malaya dan Perbahasan Parlimen beliau terakam untuk tatapan semua. Di kalangannya, ada beberapa perkara yang menonjol. Ucapan Parlimen pertama beliau setelah Parlimen disambung semula dan dibebaskan dari tahanan ISA pada tahun 1971, kematian bayi-bayi di Hospital Besar Melaka kerana peralatan yang rosak, dan penentangan terhadap Proklamasi Darurat di Kelantan, percubaan melaksanakan Darurat di Sabah serta bersuara untuk tahanan ISA dari Ahli Parlimen DAP Chian Heng Kai dan Chan Kok Kit hinggalah kepada Anwar Ibrahim dan Syed Husin Ali. Kempen Selamatkan Bukit China yang berjaya di Melaka oleh beliau adalah salah satu catatan unggul kerjayanya.

Pendedahan berani beliau terhadap skandal rasuah umum diketahui, dari skandal BMF bernilai RM2.5 bilion kepada pembelian kapal perang tentera laut SPICA-M, skandal kewangan yang berkaitan dengan Lebuhraya Utara-Selatan, Koperasi Pengambilan Deposit MCA, pengeluaran berlebihan secara rahsia minyak yang melibatkan kontrak minyak di Pantai Timur, dan skandal forex Bank Negara. Apa yang tidak diketahui umum adalah tabiat kerja keras beliau untuk mencerna berjilid-jilid laporan sehingga mencecah ribuan halaman.

Belia tidak pernah kenal penat lelah dalam usaha memperjuangkan akauntabiliti dan ketelusan sehingga diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang terbaik dalam sejarah. Kepimpinan Lim Kit Siang membolehkan DAP berjaya mengharungi tahun-tahun 70-an, 80-an dan 90-an yang begitu bergelora sebagai kekuatan utama pembangkang yang memastikan demokrasi terus hidup. Pengiktirafan tertinggi terhadap peranan penting beliau ketika itu dan di masa depan sebagai Ketua Pembangkang, datang dari Almarhum Perdana Menteri Tun Abdul Razak, yang telah menasihati Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk memberikan Pengampunan Diraja kepada Kit Siang atas kesalahan pilihan raya yang akan membatalkan beliau dari jawatan Parlimen.

Bapa saya telah membayar harga tinggi kerana menjadi Encik Pembangkang. Dari ditahan dua kali di bawah ISA atas tuduhan palsu dan tidak berasas hinggalah didakwa kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi berhubung skandal kapal tentera laut Spica-M, disaman fitnah dan ditangkap berkali-kali oleh polis, beliau sanggup mengorbankan kebebasan dan keselesaan peribadinya. Beliau enggan dibeli dan menolak tawaran dari kerajaan ketika itu. Kartunis Lat mengabadikan semangat itu dalam satu kartun yang menunjukkan seorang anak lelaki membaca berita harian kepada bapanya tanpa mendapat reaksi, sehingga anak itu mengumumkan bahawa Lim Kit Siang telah menyertai BN. Ekspresi terkejut bapa mencuit hati anak lelaki itu yang berkata, “Lawak sahaja lah!”.

Pendirian beliau yang berprinsip telah memberi harapan kepada ramai rakyat Malaysia, terutama anak muda Malaysia yang menderita kerana dasar kerajaan yang menindas, bahawa masih ada pemimpin Malaysia di luar sana yang berjuang dengan berani untuk mempertahan yang benar dan melawan yang batil. Ramai pemimpin muda hari ini menyertai DAP kerana Lim Kit Siang. Ramai pemimpin DAP masa kini kekal dalam parti sepanjang tahun-tahun malap sebagai pembangkang kerana Lim Kit Siang.

Walaupun di sebalik kesukaran dan penderitaan, beliau tetap mencari masa untuk keluarga dan sahabat beliau. Saya masih ingat beliau memandu jauh dari Pulau Pinang ke Batu Pahat, dan membawa kami menonton wayang di mana beliau tertidur sepanjang tayangan. Beliau meluangkan masa untuk mengajar kami mengumpul setem, berutus dengan rakan pena di luar negeri, bercerita untuk kami dan mendorong kami untuk meneroka perbatasan minda kami melalui koleksi bukunya yang sangat besar. Beliau suka untuk pulang ke rumah bagi menikmati masakan ibu saya, minum bersama sahabat dan rakan seperjuangannya di kedai kopi.

Dr Chen Man Hin dan Karpal Singh adalah rakan perjuangan paling rapat beliau. Ikatan kekeluargaan dan persahabatan membantu beliau melalui semua cubaan dan rintangan, terutama pengalaman yang paling menyakitkan ketika melihat saya dipenjarakan pada tahun 1998 selama 18 bulan demi membela seorang gadis Melayu di bawah umur yang telah dirogol tetapi masih ditahan. Sekiranya ada kekesalan bagi beliau, itu bukanlah kekalahan pilihan raya tetapi keperitan dan kepasrahan melihat anak sendiri menderita di penjara. Saya diberitahu selepas pembebasan saya bahawa beliau hampir menangis setelah setiap lawatan penjara, tetapi beliau tidak pernah menunjukkan kesugulannya kepada saya.

Walaupun peranan beliau dalam pembangkang tidak dapat dipertikaikan, apa yang kurang mendapat perhatian adalah sumbangan penting beliau untuk mengubah DAP dari pembangkang tegar menjadi parti yang memegang kuasa dan kejayaan besar dalam membantu membentuk pembangkang yang bersatu untuk mengalahkan BN pada pilihan raya 2018. Kit Siang bersedia mengambil risiko politik yang tinggi demi matlamat yang lebih besar, termasuk bertanding di kerusi berbahaya.

Dan ketika kejayaan datang dalam bentuk kemenangan mendapatkan kuasa, beliau membuat keputusan untuk memberi laluan kepada orang lain dan tidak memegang sebarang jawatan kerajaan. Beliau telah menunjukkan di mana terletaknya hati dan jiwanya dengan kekal menjadi Ahli Parlimen biasa. Segalanya adalah demi rakyat dan bukan tentang dirinya. Beliau tidak menganggap penolakan jawatan ini sebagai pengorbanan tetapi proses yang diperlukan untuk membolehkan generasi pemimpin muda maju ke hadapan dan memimpin perubahan. Dengan semangat inilah beliau dihormati oleh generasi pemimpin yang lebih muda.

Sebenarnya, Kit Siang telah membantu memacu perkembangan DAP daripada menjadi pembangkang terbaik dalam sejarah Malaysia kepada menjadi kerajaan terbaik, terutama kejayaan kita di Pulau Pinang. Daripada menjadi halangan kepada perkembangan dan menyekat pembaharuan, beliau mendorong perkembangan untuk berlaku ke landasan baru, malah beliaulah yang seringkali memulakan pembaharuan. Contohnya, walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, namun DAP mempunyai wakil bagi Ahli Parlimen dan ADUN dari semua komuniti utama, termasuk Sabah dan Sarawak.

Walaupun berusia 80 tahun, bapa saya tidak akan berdiam diri terutama terhadap mereka yang taksub dengan perbalahan kaum dan konfrontasi agama. Tumpuan harus diberikan untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih baik. Dalam era COVID-19 kita harus menyelamat, menebus dan membina semula ekonomi. Prinsip yang didukung tegas memacu kemajuan. Nilai yang dilindungi cekal mendorong keadilan. Bukan psikologi yang melumpuhkan mahupun falsafah kepasrahan tetapi tindakan, tindakan geram dan girang yang sarat optimisme dan harapan.

Dalam perkara ini, beliau tergolong dalam pemikiran lama, yakni, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Seperti yang ungkapan oleh penyair Yunani Aeschylus, “Dia yang belajar pasti menderita. Dan walaupun dalam tidur kita, rasa sakit yang tidak dapat dilupakan jatuh setitik demi setitik ke dalam hati sehingga, dalam kepasrahan kita, bertentangan dengan kehendak kita, datanglah hikmah kepada kita oleh rahmat Tuhan yang Maha Penyayang.”

Sebagai sebuah keluarga, kami bangga dengan beliau sebagai seorang suami, bapa dan datuk yang teladan. Beliau menjaga anak perempuan saya untuk dua tahun pertama hidupnya. Kami menganggap beliau bukan hanya sebagai kompas moral tetapi mercu harapan bahawa kita berhak mendapat yang lebih baik, rakyat Malaysia layak mendapat yang lebih baik. Marilah kita semua meneruskan perjuangan beliau untuk sebuah Malaysia lebih baik bersama-sama.

Selamat Hari Lahir, AYAH. Semoga kekal sihat dan bahagia selalu.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Penghargaan kepada bapa saya Lim Kit Siang sempena ulang tahun ke-80 beliau pada hari Sabtu, 20 Februari 2021