Sudah caj Annuar Musa atau masih lagi dalam siasatan?

Ramai yang tertanya-tanya, apakah keputusan Jabatan Peguam Negara di atas tuduhan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 2.0? Tujuh hari sudahpun berlalu, keputusan masih belum dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara. Adakah pihak Jabatan Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menutup kes beliau dan mengelaskan ia di dalam kes-kes tiada tindakan lanjut (No Further Action)?

Pelbagai bukti telah diberikan kepada pihak polis dalam menangani hal ini. Kesemua bukti yang diberikan pula datangnya dari mereka yang berada di meja makan tersebut, termasuk menteri berkenaan.

Pertamanya, pihak penganjur telah membuat pengakuan atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas perbuatan tersebut selepas gambar yang tular itu mendapat perhatian ramai. Gambar yang telah dimuat naik juga telah menggambarkan ketidak patuhan terhadap SOP oleh kumpulan berkenaan. Dalam masa yang sama, Annuar Musa juga mengaku yang beliau duduk bersama kumpulan tersebut walaupun sebentar. Melihat kepada bukti-bukti yang ada, tiada sebab untuk beliau tidak diberikan saman RM1000 dengan serta merta.

Sekiranya pihak berkuasa melengah-lengahkan lagi kes ini, sudah pastinya rakyat akan melihat pihak berkuasa sebagai badan hanya mendakwa orang awam, tetapi tidak berani menyentuh golongan menteri. Selain itu, hasil siasatan daripada kes ini juga akan mewujudkan satu ‘precedent’ (duluan) yang mana siapa-siapa yang melanggar SOP PKP juga perlu merujuk kes mereka kepada Jabatan Peguam Negara sebelum tindakan lanjut boleh diambil. Sekiranya golongan menteri diberikan peluang tersebut, orang awam juga berhak mendapat peluang yang sama.

Tiada guna beri kenyataan sehingga tiga jam lamanya sekiranya pada akhirnya nanti, golongan beliau lolos dari hukuman. Semakin hari, layanan dwistandard semakin menjadi-jadi!

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 21 Februari 2021