Imuniti kelompok lindungi komuniti kita

Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri menerusi sidang video pada Jumaat (19 Februari 2021), saya telah mohon maklum balas lanjut daripada Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung surat bertarikh 2 Februari 2021 bagi membolehkan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang melaksanakan inisiatif saringan massa (mass testing) membabitkan sektor perkilangan/pembuatan di negeri ini. Pada sesi tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan KKM memaklumkan bahawa ia boleh dilaksanakan namun didapati kurang sesuai dalam tempoh gelombang ketiga ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan sendiri inisiatif tersebut kerana sejak peringkat awal lagi, kita telah menegaskan akan keperluan pelaksanaan saringan massa supaya tindakan pengesanan kontak (contact tracing) dan rawatan (treatment) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan terutamanya bagi sektor pembuatan, perkilangan serta pembinaan yang menjadi penyumbang utama kewujudan kes-kes serta kluster di negeri ini. Justeru, Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan dan mempercepatkan pelaksanaannya hasil usahasama beberapa pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan Negeri memberikan komitmen serta kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaannya. Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang bahawa bermula minggu depan, Pulau Pinang bakal menerima stok vaksin COVID-19 secara berperingkat dan akan ditempatkan di dua buah hospital. Suntikan fasa pertama adalah membabitkan barisan frontliners yang dianggarkan melebihi 30,000 orang. Justeru, Kerajaan Negeri berharap proses ini akan berjalan lancar dengan pengagihan sama rata kepada negeri Pulau Pinang daripada pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menjadi penyelaras utama program tersebut.

Kerajaan Negeri ingin memastikan semua 1.3 juta atau 70 peratus rakyat Pulau Pinang yang dianggarkan akan menerima suntikan vaksin tersebut memperolehnya demi membentuk imuniti kelompok (herd immunity) di negeri ini. Malah, sebagai makluman, Kerajaan Negeri juga sedang menunggu maklum balas daripada KKM berhubung proposal sumbangan 1 juta vaksin daripada pihak swasta kepada rakyat Pulau Pinang yang diterima pada bulan lalu. Adalah diharapkan kita memperoleh jawapan yang positif daripada KKM demi kepentingan kesihatan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sedang meneruskan perbincangan dengan beberapa pihak berhubung pembekalan vaksin, pengurusan serta proses mempercepatkan tempoh masa suntikan kepada rakyat negeri ini berbanding yang dijadualkan oleh KKM kini iaitu dalam jangka masa setahun.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Ahad, 21 Februari 2021