Mengkritik keputusan mahkamah bukanlah menghasut dan jauh sekali dari membuat kenyataan menghasut yang mempersoalkan integriti badan kehakiman

DAP sangat amat kesal dengan siasatan polis di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi, terhadap Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan dan Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago, kerana mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah atas komen yang ditinggalkan oleh pembacanya.

Mengkritik keputusan mahkamah bukanlah menghasut dan jauh sekali dari membuat kenyataan menghasut yang mempersoalkan integriti badan kehakiman. Mengkritik keputusan pengadilan adalah konvensi undang-undang dan untuk mendiamkan perbezaan pendapat seperti itu tidak berbeza dengan menyekat hak perbezaan pendapat dan kebebasan bersuara.

Dengan membuka kertas siasatan polis terhadap keduanya, kebebasan media dan bersuara akan menjadi lebih terkekang. Adakah mengongkong kebebasan media dan bersuara adalah norma baharu setelah pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen? Tanpa Parlimen yang berfungsi, kerajaan boleh menggunakan kuasa diktator.

Ini akan memberi gambaran negatif bahawa kerajaan berasa tidak selamat setelah kehilangan majoriti parlimennya, secara sistematik mengetepikan demokrasi dan hak asasi manusia, satu per satu. Sekiranya kertas siasatan boleh dibuka terhadap kedua-dua individu ini, apakah itu bermaksud polis juga akan menyiasat ribuan komen dan kritikan yang serupa?

DAP berdiri bersama Steven Gan dan Charles Santiago. Sama seperti orang ramai yang bangkit sehati sejiwa menyumbangkan dana dan mengumpulkan bayaran denda RM500,000, orang ramai juga akan bersolidariti dengan mereka yang tidak melakukan kesalahan melainkan hanya menggunakan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media.

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 22 Februari 2021