Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 yang berlangsung secara sidang video pagi ini secara umumnya menyentuh mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bakal bermula pada minggu ini di Pulau Pinang.
Berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, mesyuarat menekankan bahawa program-program komunikasi adalah perlu dipergiatkan lagi bagi meningkatkan keyakinan 70 peratus atau 1.3 juta rakyat Pulau Pinang yang disasarkan untuk mendapatkan suntikan dan seterusnya memastikan ketercapaian imuniti kelompok (herd immunity) di negeri ini. Justeru, adalah diharapkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) yang ditubuhkan khas juga pada peringkat negeri dapat memainkan peranan dengan efektif.
Pada mesyuarat sama, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut berkongsi berita yang agak gembira apabila sehingga 21 Februari 2021, tiada lagi mukim-mukim yang berada di dalam zon merah membabitkan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS). Manakala bagi Daerah Timur Laut (DTL) sehingga tempoh sama, terdapat dua (2) mukim yang kini berada dalam zon merah berbanding sebelum ini, Daerah Barat Daya (2) dan Seberang Perai Tengah (1). Syabas kepada semua!
Dalam tempoh sama juga, anggaran R-naught (Rt) bagi seluruh negara adalah pada paras 0.9 dan Pulau Pinang mencatatkan kadar 0.89. Pada minggu epid ke-7 (14 Februari 2021 hingga 20 Februari 2021), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Pulau Pinang menerima laporan sejumlah 702 kes positif COVID-19 yang mana 545 kes (77.63 peratus) adalah terdiri daripada warganegara manakala bukan warganegara (157 kes, 22.3 peratus).
Pecahan kes mengikut kluster dan saringan adalah seperti berikut:- (kes)
Secara keseluruhan, sejumlah 11,491 ujian pengesahan COVID-19 telah dijalankan sepanjang minggu epid ke-7 oleh pelbagai fasiliti kesihatan di bawah pemantauan JKNPP. Majoriti saringan adalah tertumpu kepada saringan kontak rapat kes positif, saringan tempat kerja di kilang industri serta tapak bina dan juga saringan bergejala.
Bagi saringan bukan warganegara sama ada berdaftar di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau sebaliknya (saringan atas inisiatif majikan sendiri) membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan, JKNPP melaporkan bahawa sehingga 21 Februari 2021, seramai 56,610 orang telah menjalani saringan dan daripada jumlah berkaitan sejumlah 2,153 kes positif telah dikesan.
Sebagai tambahan, turut dimaklum dan diputuskan adalah:-
Umumnya, walaupun kini kita memasuki fasa vaksinasi, namun kewajipan 3T adalah wajar diperhebatkan kerana secara puratanya, Pulau Pinang kini masih mencatatkan kes harian berjumlah tiga digit. Sama-sama kita doakan supaya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan kita pulih daripada segi kesihatan awam dan pada masa sama aspek sosial serta kehidupan masing-masing.