DAP tidak pernah bersifat ekstremis, melainkan Impian Malaysia, di mana semua orang pertamanya adalah rakyat Malaysia sebelum identiti-identiti etnik, agama, atau lain dianggap sebagai “ekstremis”

DAP tidak pernah bersifat ekstremis, melainkan Impian Malaysia, di mana semua orang pertamanya adalah rakyat Malaysia sebelum identiti-identiti etnik, agama, atau lain dianggap sebagai “ekstremis”.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi asas pembentukan masyrakat majmuk di Malaysia, berasaskan sistem raja berpelembagaan, semangat persekutuan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, kebebasan beragama, dan toleransi.

Sejauh manakah kita telah tersasar daripada amalan-amalan moderat dan bersederhana seperti ini dapat dilihat di Kabinet kita, dengan menteri-menteri yang kini tidak menghormati prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada era-era awal penubuhan negara kita, boleh difahami jika seseorang itu melihat diri mereka pertamanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao dan kemudiannya barulah seorang rakyat Malaysia, tetapi sekiranya kita terus mengetepikan identiti Malaysia kita, perkara ini hanyalah menjadi bukti kegagalan proses pembinaan negara bangsa kita.

Inilah intipati Impian Malaysia, bahawa walaupun rakyat Malaysia akan terus mempunyai pelbagai identiti — etnik, agama, budaya — kita semua pertamanya adalah rakyat Malaysia.

Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 Pakatan Harapan untuk membina semula negara dan memenuhi harapan negara adalah usaha paling berani dalam lima dekad terakhir untuk mengembalikan Malaysia kepada prinsip-prinsip asas kita.

Adakah janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 “ekstremis” — janji-janji reformasi institusi dan politik seperti had terma untuk Perdana Menteri dan pembatasan kuasa Pejabat Perdana Menteri yang telah menyebabkan Menteri-menteri Kabinet hanya menjadi pak turut; untuk menyelesaikan skandal mega 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji; reformasi SPRM dan memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah; mengembalikan maruah Parlimen; memastikan ketelusan dan ketahanan sistem pilihan raya kita; mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman dan perundangan; memastikan terdapatnya tadbir urus berkelas dunia dalam GLC kita yang setaraf dengan piawaian antarabangsa; menjadikan rekod hak asasi manusia kita dihormati oleh dunia; memansuhkan undang-undang yang menindas; memacu pelaburan; meningkatkan pendapatan rakyat dan memastikan kemakmuran jangka panjang rakyat; melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 dan memerangi jenayah dan penyakit sosial “pelampau”?

Tetapi pada era-era awal pentadbiran Pakatan Harapan, Mahathir yang mengatakan bahawa manifesto itu bukanlah kitab suci.

Siapa yang melampau?

Sejak terbentuknya DAP pada tahun 1966, DAP mematuhi komitmen jangka panjangnya untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu-padu, harmoni, adil dan makmur, berbilang kaum, dengan pelbagai agama dan pelbagai budaya, dan untuk merealisasikan Impian Malaysia .

32 juta orang rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum, bahasa, agama, dan budaya tidak boleh membentuk sebuah negara Melayu yang hebat, sebuah negara Cina yang hebat, atau sebuah negara India yang hebat, kerana perkara ini akan menjadi formula kepada perpecahan dalam negara kita — sebaliknya, bersama, kita semua mampu untuk membina sebuah negara Malaysia yang hebat.

Malah, sebagai titik pertemuan empat peradaban hebat dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — kita berada di kedudukan yang bertuah untuk menjadi contoh kejayaan Penyatuan Peradaban yang bertemu di negara kita ini, dan bukannya menjadi contoh kegagalan akibat pertembungan budaya. Kita perlu menggerakkan segala usaha untuk memanfaatkan nilai-nilai murni dalam peradaban utama dunia ini untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

DAP telah difitnah sejak 55 tahun yang lepas oleh para pelampau di kedua-dua sudut spektrum politik di satu pihak sebagai anti-Melayu, anti-Islam anti-Raja dan di sisi lain, sebagai menggadaikan hak dan kepentingan orang Cina Malaysia dan Orang India kerana berani menerapkan Impian Malaysia.

Namun, biarpun besar cabarannya untuk menerapkan Impian Malaysia ini, saya telah mendapati inspirasi daripada dua kejadian:

  • Bahawa DAP telah melahirkan seorang pemimpin yang bersedia untuk berkorban dari segi peribadi dan politik demi kehormatan dan martabat seorang gadis bawah umur dari kaum dan agama yang berbeza (ketika di mana tidak ada seorang pun pemimpin politik di Malaysia yang bersedia untuk berbuat demikian demi saudara sekaum dan seagama mereka sendiri);
  • Bahawa terdapat 80 seniman dari semua bangsa dan agama yang menyumbang dalam projek Impian Malaysia di Teater Impian di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Harapan saya agar semua rakyat Malaysia, termasuk pengamal politik perkauman dan keagamaan sebelum ini, akan menerapkan Impian Malaysia — kerana inilah satu-satunya jalan bagi Malaysia untuk kembali ke arah untuk menjadi sebuah negara besar bertaraf dunia dan memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 5 April 2021