Mengapakah tiada seorang pun pemimpin UMNO dan PAS yang mempersoalkan tindakan Hishammuddin?

Kenyataan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang merujuk negara China sebagai “abang” menimbulkan banyak tanda tanya dan kemarahan rakyat. Walaupun Malaysia dan China mempunyai hubungan diplomatik yang baik, gelaran sebegitu tidak wajar digunakan, lebih-lebih lagi di pentas antarabangsa.

Sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, sering kali PH diserang oleh pucuk pimpinan UMNO dan PAS dengan gelaran seperti pembela atau penyanjung komunis apabila menjalinkan kerjasama dengan kerajaan China, walaupun atas kapasiti diplomatik.

Namun tiada seorang pun pemimpin UMNO dan PAS yang mempersoalkan tindakan Hishammuddin. Apakah dasar menentang komunis yang diperjuangkan mereka selama ini hanya wayang semata-mata?

Sekiranya kenyataan sebegini dikeluarkan oleh mana-mana menteri DAP seperti Anthony Loke atau Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah, semestinya perbuatan mereka itu diselar dengan hebat. Pastinya akan wujudnya usaha oleh pihak tertentu untuk melucutkan kewarganegaraan mereka dan kemungkinan kedudukan DAP sebuah parti politik berdaftar di Malaysia akan disiasat dan lebih teruk, dibatalkan begitu sahaja kerana kononnya terdapat unsur-unsur komunis.

Hishammuddin telah menerangkan di laman twitternya bahawasanya gelaran akrab yang diberikan tersebut ditujukan secara peribadi kepada Menteri Luar China, Wang Yi, dan bukan hubungan dua hala antara Malaysia dan China. Walaupun begitu, kunjungan Hishammuddin ketika itu adalah satu majlis diplomatik rasmi dan direkod di hadapan media dunia, bukannya program santai mesra dengan Wang.

Jikalau Hishammuddin menggunakan duit poketnya untuk membawa rombongannya melawat China, saya tiada masalah. Panggil apa sahaja yang beliau mahu kerana beliau mempunyai atas hak ke atas duitnya. Tetapi lawatannya itu dibiayai oleh kerajaan, beliau perlu mengikut protokol diplomasi yang ditetapkan!

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 5 April 2021