Tiada lagi alasan untuk Muhyiddin tidak menasihati Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen sedangkan gelombang ketiga wabak Covid-19 akhirnya berada di bawah kawalan — menjadikannya salah satu gelombang penularan terpanjang di dunia!

Saya telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 pagi ini di Kuala Lumpur — bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, dan Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Proses pendaftaran dan pengedaran vaksin Covid-19 perlu dipercepatkan supaya wabak Covid-19 di Malaysia dapat ditamatkan secepat mungkin untuk membolehkan kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dimulakan dalam suku keempat tahun ini.

Parlimen patut dipanggil bersidang untuk membuat keputusan mempercepatkan pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan menjelang hari Malaysia pada 16 September 2021 dengan menggunapakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyrakat”.

Tiada lagi sebarang sebab atau alasan untuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen untuk menggerakkan seluruh negara dalam perang melawan wabak Covid-19, memandangkan gelombang ketiga wabak ini akhirnya berada di bawah kawalan selepas lapan bulan — menjadikannya salah satu gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia.

Semasa persidangan Parlimen yang lepas, di antara 5 November sehingga 17 Disember 2020, kadar peningkatan harian wabak Covid-19 berada di antara 589 kes pada 15 November ke 2,234 kes pada 12 Disember.

Dalam tempoh 28 hari yang lepas, kadar peningkatan ini berada di antara 941 kes pada 29 Mac kepada 1,671 kes pada 20 Mac — satu julat yang lebih rendah berbanding dengan kemuncak dalam persidangan Parlimen yang lepas, walaupun masih belum mencapai kadar peningkatan 589 kes pada 15 November.

Saya berharap kita akan terus melihat penurunan kadar kes Covid-19 dalam hari-hari yang akan datang, dan harapnya kadar peningkatan pada bulan ini akan turun di bawah paras 589 kes.

Mesyuarat Kabinet esok perlu memutuskan yang Perdana Menteri perlu menasihati Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, bagi membolehkan wabak Covid-19 ini ditangani dengan lebih efektif.

Adakah Kabinet akan berbuat demikian?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 6 April 2021 pukul 10 pagi