Penyisihan Malaysia daripada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Amerika Syarikat(AS) mengesahkan bahawa Malaysia dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik daripada rakan strategik isu alam sekitar

Penyisihan Malaysia daripada sidang kemuncak tindakan iklim yang menampilkan pemimpin dunia dari 40 negara, termasuk negara jiran, Singapura, Indonesia dan Vietnam telah menjadi bahan jenaka dengan kemerosotan kedudukan Malaysia sebelum ini sebagai peneraju dalam mempromosi isu perubahan iklim. Penyisihan Malaysia daripada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Amerika Syarikat(AS) mengesahkan bahawa Malaysia dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik daripada rakan strategik isu alam sekitar.

Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim, yang dianjurkan dan dihoskan oleh Presiden AS Joe Biden, akan berlangsung secara maya pada 22 dan 23 April. Rumah Putih mengatakan para undangan termasuk “ketua lain-lain negara yang menunjukkan kepemimpinan iklim yang kuat, yang terdedah kepada kesan iklim, atau yang membuka jalan inovatif tindakan iklim.” Ramai yang mengatakan tindakan Biden itu boleh dianggap sebagai satu tamparan ke muka Malaysia, kerana gagal mempertahankan reputasinya sebagai pemimpin dalam tindakan iklim di Asia Tenggara, yang berjaya dicapai oleh mantan Menteri PH Yeo Bee Yin.

Bagi menghindarkan Malaysia menjadi sebuah tapak pembuangan sampah plastik, Yeo menjadi peneraju terhadap usaha mengembalikan kontena sampah plastik ke negara asalnya. Beliau juga memainkan peranan penting dalam pindaan klasifikasi sisa plastik di bawah Konvensyen Basel, sebuah perjanjian antarabangsa, untuk menyekat import sisa tersebut.

Sungguhpun berkali-kali dinafikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air PN Tuan Ibrahim Tuan Man, Kerajaan PN sebenarnya telah mengizinkan Malaysia perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sampah AS untuk sampah plastik “bersih”. Beliau telah menjelaskan bahawa sampah plastik itu bersih, homogenous dan memenuhi kriteria untuk lesen import sisa plastik. Sekiranya Tuan Ibrahim Man begitu yakin tentang bagaimana sampah plastik boleh dikatakan “bersih”, maka dia harus membenarkan kilang sampah plastik “bersih” dibina di sebelah rumahnya di Kelantan atau Pahang.

Sehingga kini, Tuan Ibrahim Tuan Man masih gagal menjelaskan mengapa Vietnam boleh dijemput, tetapi Malaysia disisihkan daripada sidang kemuncak ini. Tuan Ibrahim harus sedar diri dengan menetapkan wawasannya dalam bagaimana untuk mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam bidang tugas agensi-agensi kerajaan. Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim Tuan Man telah merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada negara Vietnam.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 6 April 2021