Anjurkan Persidangan Perubahan Iklim Kebangsaan bagi mengumpulkan idea baharu untuk maju ke hadapan demi mengembalikan aktivisme dan kepimpinan Malaysia

Tuan Ibrahim telah menunjukkan dirinya tidak mampu menggalas tugas untuk memberikan kepimpinan dan kepakaran yang diperlukan dalam tindakan perubahan iklim, yang mengakibatkan penyisihan Malaysia oleh Presiden AS Joe Biden dari Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim di Amerika Syarikat (AS) pada 22 dan 23 April. Penjelasan Tuan Ibrahim mengapa Malaysia tidak diundang, menunjukkan dia tidak berbeza dengan bekas Presiden AS Donald Trump yang tidak tahu dan tidak berminat terhadap aktivisme perubahan iklim

Dalil Tuan Ibrahim untuk penyisihan Malaysia adalah bahawa Malaysia tidak terdedah kepada perubahan iklim seperti Vietnam dan Indonesia, serta bukan negara penyumbang besar 80 peratus gas rumah hijau (GHG) untuk mengehadkan pemanasan global hingga 1.5 darjah Celsius. Alasan seperti gaya Trump ini tidak dapat diterima dan tidak jujur ketika Singapura pun turut diundang, walaupun Singapura tidak berada di bawah kategori pengeluaran GHG atau terdedah kepada kesan iklim.

Sebenarnya semua negara terdedah terhadap perubahan iklim, hanya sejauh mana mereka telah menyumbang untuk mempromosikan tindakan perubahan iklim di wilayah mereka, menjadi faktor yang membezakan antara mereka. Jelas Malaysia tidak dilihat sebagai rakan kongsi strategik isu alam sekitar mengenai tindakan perubahan iklim oleh AS, lebih rendah daripada Vietnam, walaupun secara perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sampah pilihan untuk kononnya sampah plastik “bersih” dari AS.

Tuan Ibrahim tidak boleh terus menafikan sindiran secara tidak langsung daripada AS ini. Sebaliknya, beliau harus bertindak balas secara bertanggungjawab dan positif dengan meminta bantuan bagaimana untuk mengembalikan kepemimpinan Malaysia sebelum ini dalam aktivisme perubahan iklim. Sekiranya Parlimen tidak digantung secara tidak sah, sudah tentu Ahli Parlimen boleh memberi cadangan semasa mesyuarat sidang Parlimen.

Terdapat kos ekonomi jika gagal menangani perubahan iklim dengan serius. Kajian oleh sekumpulan universiti di UK termasuk Universiti Cambridge, telah meramalkan bahawa 63 negara, termasuk Malaysia, boleh menghadapi penurunan penarafan kredit antarabangsa mereka disebabkan perubahan iklim pada tahun 2030. Tinjauan ini turut meramalkan bahawa negara-negara yang paling teruk terkesan seperti China, Chile, Malaysia, dan Mexico boleh menghadapi enam tahap penurunan sebelum akhir abad ini.

Tuan Ibrahim harus menganjurkan satu Persidangan Perubahan Iklim Kebangsaan untuk mengumpulkan idea-idea baharu tentang bagaimana untuk maju ke hadapan demi memulihkan aktivisme dan kepemimpinan Malaysia. DAP bersedia membantu dan memberi sumbangan, terutama mantan Menteri PH Yeo Bee Yin, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usahanya mengenai tindakan isu alam sekitar dan perubahan iklim.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 8 April 2021