Semua jawatan lantikan politik harus bantu menjayakan program pendaftaran vaksin

Setakat 6 April 2021, hanya 36.6 peratus atau 1.04 juta penduduk negeri Johor telah mendaftar untuk program vaksinasi. Jika kita ingin membuka semula sempadan Malaysia-Singapura untuk menyatukan ribuan keluarga yang terpisah, kerajaan harus melaksanakan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ iaitu menggerakkan semua sumber dan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan lagi pendaftaran vaksin di negeri Johor.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 April, hanya 1,038,985 penduduk mendaftar untuk program vaksinasi atau 36.6 peratus daripada populasi 18 tahun ke atas. Johor Bahru mendahului carta pendaftaran tertinggi dengan 41.9 peratus (499,842) dan Kulai di tempat kedua dengan 41.7 peratus. Namun, jumlah pendaftaran di 8 daerah lagi tidak mencapai satu per tiga daripada populasi 18 tahun ke atas. Pendaftaran terendah adalah daerah Mersing dengan hanya 23.2 peratus atau 13,597 penduduk.

Sejak bermulanya program vaksinasi pada bulan Februari yang lalu, pejabat saya telah mengendalikan 20 kaunter bergerak di pasar dan kawasan kampung. Walaupun ada daripada kalangan penduduk yang tidak berminat untuk mendaftar, namun kebanyakan penduduk mempunyai kekangan teknologi untuk mendaftar terutamanya golongan warga emas dan penduduk kawasan luar bandar. Statistik di atas menguatkan lagi kenyataan ini kerana kawasan bandar seperti Johor Bahru dan Kulai mempunyai kadar pendaftaran yang tinggi manakala daerah yang mempunyai populasi golongan muda bekerja yang rendah dan kawasan luar bandar yang luas mempunyai kadar pendaftaran yang rendah.

Jurang teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk peringkat umur juga adalah amat ketara. Ini telah menjadi batu sempadan untuk kita mencapai kadar pendaftaran yang lebih tinggi. Situasi ini juga akan menghalang sasaran untuk mencapai ‘imuniti kelompok’ jika kita tidak mengambil pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’.

Ketika ini, ahli parti DAP terutamanya bekas ahli majlis dan ketua kampung masih bekerja keras untuk membantu menjayakan pendaftaran vaksin ini. Maka, kerajaan negeri Johor harus meningkatkan usaha dan mengarahkan seluruh jawatan lantikan politik iaitu ahli majlis dan ketua kampung untuk menjalankan pendaftaran vaksin di kawasan masing-masing. Inilah masanya untuk semua jawatan lantikan politik ini bekerja setelah mendapat jawatan.

Kita harus jelas bahawa kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi sekarang dapat dipulihkan dengan segera sekiranya imuniti kelompok dapat dicapai. Kita harus pastikan program vaksinasi ini berjaya. Untuk mencapai matlamat ini, kadar pendaftaran haruslah ditingkatkan.

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen Kluang
Kenyataan media oleh Wong Shu Qi di Kluang pada hari Khamis, 8 April 2021